Banjir di Sabah merekodkan satu lagi pertambahan kes kematian akibat bencana berkenaan selepas seorang warga emas menjadi korban terbaru dalam satu kejadian di Sungai Lininkung, Telupid.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam, mangsa berkenaan yang bekerja sebagai petani dilaporkan cuba menyeberangi sungai.
Menurutnya, mangsa cuba menuju ke rumahnya yang hampir ditenggelami air sebelum dihanyutkan arus deras.
“Penduduk kampung kemudiannya menemui lelaki terbabit tidak jauh dari lokasi mangsa hanyut dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Telupid sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
Kasim berkata, sehubungan dengan itu pihaknya menasihatkan masyarakat di daerah berkenaan agar sentiasa peka keadaan semasa dan mengelakkan diri dari melalui kawasan dinaiki banjir.
Kes berkenaan menjadikan kes kematian akibat banjir di Sabah meningkat kepada tiga orang.
Terdahulu, dua kematian direkodkan di daerah kecil Paitan dalam dua kejadian berasingan pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian pertama, seorang lelaki berumur 28 tahun yang sedang memasang pukat ketika banjir dan hujan lebat dilaporkan hilang di Kuala Penubukan.
Mayat mangsa kemudiannya ditemui pada Sabtu.
Mangsa kedua pula memabitkan mangsa lelaki berumur 26 tahun, seorang pekerja ladang yang dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi jalan di Kampung Kinadaan.
Mangsa belum ditemui sehingga kini.