Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas ketika berkelah di tepi Sungai Bengkoka, di sini, pada Ahad.
Mangsa yang belum diketahui identiti itu disedari hilang sebelum laporan dibuat kepada pihak bomba pada jam 2.04 petang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima melalui panggilan kecemasan 999.
Katanya, seramai empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu dikejar ke lokasi kejadian.
“Menurut laporan, seorang kanak-kanak dipercayai lemas di Sungai Bengkoka ketika melakukan aktiviti berkelah di tepi sungai berkenaan.
“Pasukan bomba bergegas ke lokasi bagi mendapatkan maklumat terperinci dan seterusnya melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, mangsa belum ditemui sehingga kini.
Artikel asal di Sinar Harian