Buletin

Jalani rawatan susulan di IJN, YDP Agong berada dalam keadaan baik

Kesihatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berada dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, Al-Sultan Abullah telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selama beberapa hari bermula semalam bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan.

“Pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan ini berhubung dengan rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali yang telah dijalani Seri Paduka Baginda di IJN pada bulan September 2020.

“Pada 24 September 2020, Seri Paduka Baginda telah menjalani rawatan intervensi tersebut setelah pengimejan MRI menunjukkan kecederaan pada sendi-sendi lutut dan buku lali Baginda ketika bersukan.

“Rawatan susulan ini tertangguh dari tarikh tersebut ekolah daripada pelaksanaan Prosedur Operasi Standard COVID-19 di hospital-hospital awam, termasuk IJN,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Fadil berkata Seri Paduka Baginda turut berkenan menjalani pemeriksaan respiratori di IJN.

Menurut beliau, Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan tersebut.

Justeru beliau menyeru seluruh rakyat mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top