Buletin

47 pertuduhan kes rasuah Yayasan Akalbudi, Zahid Hamidi diarah bela diri

Bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga merupakan Presiden Umno diarah diarah membela diri dalam 47 pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana daripada Yayasan Akalbudi.

Beliau diperintahkan berbuat demikian oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini oleh Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah yang memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah menunjukkan terdapat kes prima facie (tertuduh perlu menjawab) terhadap bekas menteri dalam negeri itu, melibatkan 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah, dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Manakala, 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Ahmad Zahid mula dibicarakan pada 18 November 2019 terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya berkaitan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram, puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pihak pendakwaan menutup kes mereka pada 19 Mac tahun lalu dan pada 6 Disember tahun yang sama, mahkamah menetapkan hari ini untuk keputusan.

Ahmad Zahid, yang diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh manakala pasukan pembelaan diketuai oleh Datuk Raja Rozela Raja Toran.

PALING POPULAR

To Top