DESAS-desus bahawa dua menteri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu menyertai UMNO yang sedang bertiup kencang ketika ini disifatkan hanya perang psikologi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut menyifatkan perkara itu hanyalah khabar angin semata-mata.
Kata beliau, tujuan perang psikologi itu dicetuskan hanya untuk memburuk-burukkan Perikatan Nasional (PN) kepada pengundi di Johor supaya tidak meletakkan kepercayaan kepada Bersatu.
“Nama pun khabar angin, tak payah percaya. Kalau surat layang, lagi jangan percaya. Kalau diumumkan oleh orang yang berkenaan, baru boleh percaya.
“Dalam politik, perang psikologi ini macam-macam, itu biasa berlaku. Kenapa nak berlaku sekarang bila ada PRN Johor?
“Ia hanya untuk memaklumkan kepada rakyat Johor kononnya supaya tidak percaya dengan Bersatu kerana pemimpin nak balik ke UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah, hari ini.
Desas-desus berhubung dua menteri dari Bersatu dikatakan mahu kembali menyertai UMNO semakin bertiup kencang sejak beberapa hari lalu.
Isu tersebut difahamkan mula dicetuskan sebuah portal berita pro-UMNO yang memetik sumber.
Dua individu berkenaan melibatkan seorang menteri senior memegang jawatan kanan dalam Bersatu yang juga bekas ahli UMNO dan seorang lagi pemimpin yang agak muda memegang jawatan biasa tetapi berstatus menteri.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa pemimpin Bersatu Johor termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad dan bekas ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang mengumumkan keluar Bersatu kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti itu termasuklah Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.