PERIKATAN Nasional (PN) Johor dilancarkan secara rasmi malam ini sebagai satu acuan masa depan politik yang lebih terjamin dan bersih untuk membentuk kerajaan, bermula di peringkat negeri.
Detik bersejarah itu disempurnakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkannya sebagai gabungan parti luar biasa.
“Malam bersejarah ini bukan saja untuk rakyat Johor, tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia. Hari ini lahirnya satu perjuangan, lahirnya satu politik yang menjelaskan kenapa PN dibentuk dan dilahirkan.
“Cukup jelas, kita mahu membentuk sesuatu hubungan kerjasama politik yang kukuh dan mantap, menjayakan aspirasi negara dan rakyat.
“Malam ini bukan kita nak membicarakan bagaimana nak membangunkan Johor, tetapi kita acukan masa depan yang lebih terjamin, bersih untuk membentuk kerajaan yang berpegang teguh kepada perlembaan negeri dan Persekutuan.
“Kita mahu memberikan tadbir urus yang baik dan terbaik, satu pembaharuan luar biasa. Sebab itulah saya katakan PN adalah gabungan parti luar biasa,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Johor di Padang Awam, Taman Pasak Indah, Kota Tinggi, Johor.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi PN merangkap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden PN dan Presiden Gerakan, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai serta pemimpin kanan Parti Pribumi Malaysia (Bersatu).
Majlis itu disiarkan secara langsung di platform media sosial Facebook Perikatan Nasional serta parti gabungan.
Mengulas lanjut, Muhyiddin mahukan rakyat khasnya orang Johor faham dengan lebih jelas hala tuju PN yang mahu mengutamakan kebajikan rakyat.
“Ada yang bertanya apa yang (PN) nak hidangkan kepada rakyat. Hakikatnya BN (Barisan Nasional) sudah ada di di sini lebih 60 tahun, tetapi mereka bukan yang terbaik. Kita mahu berikan yang terbaik kepada rakyat, saya pernah jadi Menteri Besar Johor, saya tahu apa yang rakyat mahu.
“BN sentiasa kemaruk kuasa dan banyak salah guna kuasa. Banyak wang rakyat dikeroyok dan banyak kes rasuah belum selesai. Apakah rakyat Johor mahukan itu?. Kenapa mereka tumbang pada PRU-14?.
“Saya pernah berada di sana (Umno) dulu, ketika zaman jahiliah moden. Bagaimana kita nak pulihkan keadaan yang sudah rosak.
“Apabila kita diberikan amanah, kita perlu tadbir urus dengan baik, jangan sesekali buat salah, mencuri dan merompak, jangan ambil contoh ‘boss awak’,” katanya.
Muhyiddin yang baharu saja beberapa tamat tempoh kuarantin akibat Covid-19 kelihatan cukup bersemangat berucap di pentas.
“Ya, saya baru saja dua tiga hari selesai kuarantin, tetapi saya cukup sihat dan bersemangat. Ia memang luar biasa, terutama apabila melihat ramai yang datang ke majlis malam ini,” katanya. – SB