Umum

Pekerjaan bawahan di negara ini perlu dijenamakan semula

Sudah tiba masanya untuk kita menjenamakan semula pekerjaan bawahan serta yang bahaya, kotor dan sukar (3D) agar ia tidak lagi dipandang rendah.

Kata bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor, faktor status sosial pekerja sektor itu yang kurang mendapat pengiktirafan masyarakat membuatkan orang tempatan tidak berkenan untuk menyertainya.

Maka itu yang meningkatkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing, yang akhirnya membawa kesan tidak seimbang dalam ekonomi negara.

“Contoh kita ambil pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura sebagai pencuci tandas, SD2,000 (sebulan), tapi dipanggil pegawai kesihatan persekitaran. Kita panggil pencuci tandas, memang sedih.

Dalam nada seloroh, beliau berkata “Kalau pergi ke rumah kekasih kita, bapa dia tanya ‘kerja apa kau?’, ‘Cuci tandas, pakcik’,” memang tak diterima jawabnya.

“Tapi kalau kerja di Singapura, (namanya) penasihat teknikal alam sekitar. Kenapa tidak berlaku di sini? Kerana kita senang mengambil pekerja asing.”

Kecenderungan kita untuk lebih mengambil tenaga kerja asing kata beliau adalah kerana mereka tidak perlu dicarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), wang syarikat dapat dijimatkan.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengatakan bahawa kenaikan kadar gaji minimum akan lebih menguntungkan pekerja asing dan lebih banyak wang akan mengalir keluar negara, namun Abdul Halim berpendapat ia perlu dilaksanakan supaya lebih setimpal dengan kenaikan kos sara hidup hari ini.

“Mungkin satu hari nanti gaji minimum kita bertahap untuk mereka yang berkelayakan untuk dijadikan asas latihan, iaitu sebelum mereka mendapat kerja mengikut kelulusan masing-masing.”

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis yang dihoskan oleh Nazri Kahar.

PALING POPULAR

To Top