Strategi kluster mahkamah Umno untuk mengadakan beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) seperti di Johor bulan depan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan menjauhkan lagi pelabur asing ke Malaysia sekaligus akan menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara terbantut, kata beberapa penganalisis.
Mereka berkata, situasi ini akan memberi isyarat kepada pelabur negara berdepan suasana politik yang tidak stabil dan mampu menyebabkan aliran keluar dana asing yang lebih tinggi apabila pelabur akan mula mencari destinasi pelaburan baru.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS) Ahmed Razman Abdul Latiff berkata ketidakstabilan politik sering diterjemahkan sebagai situasi apabila berlakunya perubahan kerajaan yang begitu kerap.
Katanya, keadaan ini akan diikuti dengan perubahan dasar pentadbiran, pelaksanaan inisiatif atau rancangan kerajaan negeri untuk tahun-tahun akan datang.
“Sudah tentu mana-mana kerajaan yang dilantik akan cuba membawa legasi kerajaannya ke hadapan,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Jadi kerisauan di sini ialah apabila kerajaan bertukar kerana segala rancangan atau pelaksanaan terpaksa bermula dari petak permulaan.”
Kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan pemimpin Umno yang berdepan dengan pelbagai tuduhan berkait rasuah diketuai oleh Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.
Razman berkata, tidak menjadi masalah jika kerajaan baru komited meneruskan rancangan sedia ada dan hanya melakukan sedikit penambah baikan.
“Jika tiada kesinambungan, ini mampu menjejaskan keyakinan pelabur, perniagaan dan rakyat,” katanya.
“Pada tahun lalu, indeks Bursa Malaysia merosot 3.3% dan pada ketika itu juga aliran keluar dana pelabur asing berlaku apabila mereka menjual ekuiti menyebabkan pemilikan pegangan di Bursa kurang 15%.”
Sejak 2020, Malaysia melalui tiga PRN bermula dengan Sabah pada Julai tahun itu sekali gus menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri selepas menewaskan parti Warisan yang bergabung tenaga bersama Pakatan Harapan (PH).
Pada November 2021, Melaka pula melalui PRN selepas empat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dari Barisan Nasional (BN).
Sebulan selepas itu PRN Sarawak diadakan disebabkan tempoh penggal tamat.
PRN Johor pula dijadual berlangsung pada 12 Mac 2022, melibatkan 56 kerusi DUN manakala PRU15 dijangka akan berlangsung pada tahun ini.
Menurut Yeah Kim Leng, penganalisis ekonomi dari Universiti Sunway, apabila berlakunya pilihan raya dengan begitu kerap, ia akan menjejaskan kedudukan fiskal negara apabila perbelanjaan bagi kos setiap pilihan raya akan menelan lebih ratusan juta ringgit.
Selain itu, katanya, pelaksanaan pilihan raya juga akan menangguhkan tumpuan atau pelaksanaan inisiatif untuk berdepan masalah yang sedang dihadapi seperti penularan Covid-19.
“Kita pula sudah hampir menamatkan mandat PRU14, justeru, PRN kali ini sepatutnya diadakan sekali bersama PRU15 bagi menjimatkan kos.
“Malah, ia akan menjelaskan situasi politik negara dengan lebih baik. Selepas tamat PRN Johor, maka akan berlaku pula PRU15, maka permainan politik akan berterusan dan ini adalah petanda tidak bagi dari aspek suasana politik negara di mata pelabur,” katanya kepada Malaysia.
Selain itu, Yeah berkata, pelabur juga akan menangguhkan keputusan melabur apabila mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” untuk melihat hasil keputusan pilihan raya tersebut.
“Projek yang menerima sumbangan dana kerajaan juga akan terhenti, dan ini boleh menyebabkan kos pembangunan meningkat pada masa akan datang,” tambahnya.
Namun begitu, pakar ekonomi, Madeline Berma yang merupakan Felo Akademi Sains Malaysia, berkata, mengadakan pilihan raya juga boleh menghasilkan sentimen positif dalam kalangan pelabur.
Katanya, menerusi pilihan raya, ia dapat membuktikan bahawa sesebuah negara tersebut masih mempraktikan amalan demokrasi yang mana kuasa pemilihan kerajaan terletak pada tangan rakyat.
Ditanya mengenai impak PRN terhadap keyakinan pelabur, Madeline berkata, sekiranya ia menjejaskan keyakinan mereka, ia hanyalah berlaku pada skala lebih kecil berbanding PRU15.
“PRN hanya peringkat negeri, maka setiap keputusan membabitkan pelaburan atau perubahan sentimen hanyalah terhad kepada negeri yang terlibat.
“Kebiasannya pelabur hanya akan tunggu dan melihat sebarang keputusan berkaitan dasar yang bakal diperkenalkan kerajaan negeri sebelum mereka membuat keputusan lanjut,” katanya.