Umum

Gegaran susulan gempa di Indonesia turut dirasai di Melaka

Gegaran kecil susulan gempa bumi yang berlaku di Indonesia, pagi tadi turut dirasai di beberapa kawasan di Melaka.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, susulan kejadian itu, tujuh laporan telah diterima membabitkan dua bangunan bertingkat di daerah Jasin serta lima di daerah Melaka Tengah.

Dua bangunan di daerah Jasin melibatkan bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dan Projek Perumahan Rakyat (PPR Tehel).

Manakala lima di Melaka Tengah adalah di Kompleks Seri Negeri dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Ayer Keroh, bangunan Hang Tuah Jaya, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Melaka Tengah serta bangunan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Setakat ini pihak bomba menerima tujuh laporan yang mana semuanya melibatkan bangunan bertingkat dan meskipun gegaran itu sudah tamat, anggota bomba tetap melakukan pemantauan di lokasi yang dilaporkan terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya, bagaimanapun kesan gempa bumi itu tidak melibatkan kecederaan atau keretakan bangunan.

Selain tujuh bangunan itu, gegaran kecil berkenaan turut dirasai di beberapa kawasan lain sekitar negeri Melaka dan beberapa pihak pengurusan turut mengeluarkan langkah berjaga-jaga kepada penduduk untuk meninggalkan kediaman menggunakan tangga sekiranya gegaran kembali berlaku.

Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, gegaran gempa bumi yang berlaku di Utara Sumatera Indonesia pada pukul 9.39 pagi ini turut dirasakan di bahagian barat Semenanjung Malaysia terutama  di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Gempa bumi kuat dengan magnitud 6.1 pada jarak 76 kilometer (km) Barat Laut dari Payakumbuh, Indonesia dan kedalamannya sebanyak 10 km itu bagaimanapun tidak memberikan amaran tsunami kepada Malaysia.

PALING POPULAR

To Top