Proses penyerahan borang pencalonan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berakhir pada pukul 10 pagi ini.
Proses yang bermula pada pukul 9 pagi melibatkan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor itu, berjalan lancar.
Sebaik proses penyerahan borang selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding bagi PRN berkenaan.
Menurut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong parti tidak dibenarkan di pusat-pusat penamaan calon.
Hanya calon serta pencadang dan penyokong calon tersebut dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.
— BERNAMA