Buletin

SPRM beku aset, akaun bank berkait bekas bos Astro selepas pendedahan ‘ugut’ Leissner

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan perintah pembekuan aset dan akaun bank milik bekas CEO Astro Rohana Rozhan, ketika agensi anti rasuah itu memulakan siasatan terhadap dakwaan bekas pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner yang mengatakan diugut untuk membelikan sebuah rumah bernilai AS$10 juta di London, MalaysiaNow difahamkan.

Perintah pembekuan aset itu dibuat di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan, di mana ia melarang Rohana daripada melakukan sebarang transaksi melibatkan akaun bank miliknya di sama ada di United Kingdom (UK) atau dalam negara.

Difahamkan Rohana mungkin membayar harga sebuah rumah di London menggunakan separuh daripada jumlah wang yang didakwa diberikan oleh Leissner, sementara baki wang itu disimpan dalam sebuah akaun di UK.

Semalam, Rohana dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Kuala Lumpur bagi memberi keterangan.

Dalam pada itu, Harian Metro memetik satu sumber mengatakan siasatan tersebut adalah berkait rumah yang dibelikan oleh Leissner untuknya.

“Ia adalah berkaitan pemberian sebuah rumah di London bernilai AS$10 juta (kira-kira RM41.8 juta) kepada Rohana.

“Siasatan itu akan dilakukan SPRM mengikut mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001,” kata sumber itu.

Memberikan keterangan di mahkamah New York awal minggu ini dalam perbicaraan kes rasuah bekas rakan sekerjanya Roger Ng berkait 1MDB, Leissner mendakwa Rohana yang mempunyai hubungan sulit dengannya mengugut untuk mendedahkan penglibatannya dalam skandal berbilion dolar tersebut selepas mengetahui dia akan memutuskan hubungan atara mereka berdua yang terjalin selama 10 tahun.

“Jika saya tidak membelikannya rumah itu, dia akan memberitahu pihak berkuasa tentang penglibatan saya dalam skandal 1MDB.

“Dia mengugut untuk dedahkan penglibatan saya. Pada masa itu, pada 2013, saya sangat takut ia berlaku,” katanya seperti dilaporkan Bloomberg.

PALING POPULAR

To Top