Umat Islam di Kelantan yang ditangkap kerana tidak berpuasa pada bulan Ramadan bakal berdepan hukuman lebih berat mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.
Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Dr Hasnan Ramli berkata Seksyen 10 enakmen tersebut, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
“Sebelum ini, hukuman bagi kesalahan tidak berpuasa hanya denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga setahun, tetapi kali ini hukuman lebih berat menanti pesalah selepas enakmen itu baharu diluluskan November lepas.
“Sepanjang Ramadan ini juga, 60 penguat kuasa JAHEAIK akan menjalankan pemantauan di kira-kira 50 lokasi panas, dengan dibantu 700 sukarelawan Skuad Amru,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan rompi kepada anggota penguat kuasa Undang-Undang Syariah Kelantan di Balai Islam Lundang di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Dr Hasnan berkata antara lokasi panas yang sering dijadikan tempat individu tidak berpuasa adalah seperti di restoran milik orang bukan Islam, kawasan tangga di pasar raya dan kawasan tersembunyi.
“Walaupun kita lebih kepada pendekatan menasihati, tindakan tegas tetap akan diambil ke atas orang yang tidak menghormati Ramadan khususnya yang mengulangi kesalahan dan ditangkap buat kali kedua.
“Tindakan juga boleh diambil terhadap mereka yang membekal dan menjual makanan kepada individu tidak berpuasa mengikut enakmen tersebut,” katanya yang mengesahkan hanya tiga tangkapan dilakukan melibatkan lelaki tidak berpuasa pada tahun lepas.
— BERNAMA