Umum

Polis rampas pil yaba bernilai lebih RM2.5 juta di Pasir Mas

Polis menahan seorang penggangur bersama 234,000 biji pil yaba bernilai lebih RM2.5 juta dalam serbuan di Pasir Mas, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata suspek berusia 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada 11 malam.

“Ketika serbuan itu, suspek berada di luar sebuah kereta Proton Perdana yang diletakkan di perkarangan tempat letak kereta sebuah pasar raya berdekatan Bandar Baru Pasir Mas.

“Pemeriksaan di bahagian but kereta itu, menjumpai empat bungkusan guni warna putih yang mengandungi pil yaba terbabit,” kata pada sidang media di IPK di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata suspek yang ditahan didapati tiada rekod jenayah lampau dan dipercayai kesemua dadah itu diperoleh dari negara jiran.

Muhamad Zaki berkata dadah yang dirampas itu jika berjaya diedarkan boleh digunakan oleh 234,000 penagih dadah.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula 24 sehingga 30 Sept.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihak kami masih menjalankan siasatan lanjut sama ada suspek ini terlibat dengan mana-mana kumpulan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sepanjang Op Tapis yang dilaksanakan JSJN Kelantan mulai 13 Sept sehingga 26 Sept, seramai 620 orang termasuk 26 warga asing telah ditangkap.

“Kesemua suspek berusia 16 sehingga 60 tahun didapati terlibat dengan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ABD) 1952, Akta Racun (AR) 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Beliau berkata dalam tempoh operasi itu, pihaknya turut merampas pelbagai dadah bernilai RM2.7 juta dan sitaan harta berjumlah RM121,114.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top