TINDAKAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu pemimpin pembangkang termasuk Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak dianggap sebagai tanda Bersatu tidak yakin lagi dengan PAS.
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, pertemuan itu dipercayai usaha untuk memperkukuhkan PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Tak juga cuma dia nak bertambah kuat lagi agaknya,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Beliau mengulas mengenai pendedahan beberapa pemimpin pembangkang termasuk Dr Mahathir bahawa Pengerusi Pejuang itu didatangi Muhyiddin untuk mendapatkan sokongan menjadi Perdana Menteri ke-10.
Hashim juga tidak menolak kemungkinan pertemuan itu dibuat selepas Muhyiddin menyedari PN tidak mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN) selepas beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.
“Kemungkinan juga selepas keputusan PRN Melaka dan Johor, dia mempunyai pandangan tertentu untuk bersama (membentuk) kerajaan. Itu terpulang kepada Bersatu.
“Macam mana pun keputusan dia, (ia) masih rahsia lagi. Kita tunggulah (butiran perjumpaan itu),” katanya.
Mengenai pendirian PAS untuk bekerjasama dengan mana-mana parti selain rakan komponen dalam PN, beliau berkata, parti itu sentiasa terbuka untuk membentuk kerjasama demi perpaduan ummah.
“Sama ada berjaya atau tidak kita akan teruskan dengan usaha perpaduan ummah ini. Tak kisah dengan mana-mana parti janji tidak melanggar syariat Islam,” jelasnya.
Sumber: Warta Rakyat