Buletin

Muhyiddin ambil inisiatif bekerjasama antara parti menjelang PRU15

Desas desus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti semakin hampir, apabila banyak cerita parti berjumpa dengan parti yang lain untuk bergabung pada PRU akan datang.

Antara yang mengambil inisiatif ini adalah Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau telah bertemu dengan pimpinan utama parti politik dalam kerajaan dan pembangkang bagi merintis hubungan kerjasama dalam PRU15.

Beliau ada berkongsikan di laman Facebook beliau, bahawa setelah tamatnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan lalu, beliau didatangi beberapa pemimpin parti politik yang menyuarakan pandangan supaya parti selain Barisan Nasional (BN) merintis satu bentuk kerjasama politik bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU-15.

Tambahannya lagi, pertemuan beliau dengan Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad kira-kira dua minggu lalu adalah sebahagian daripada inisiatif berkenaan, yang diatur selepas seorang pemimpin kanan PEJUANG datang menemuinya.

“Ini adalah langkah awal untuk mendapatkan pandangan pemimpin parti politik dan tiada keputusan muktamad dibuat,” kata Muhyiddin.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pemimpin parti politik yang menemuinya sedar majoriti rakyat tidak menyokong BN yang didakwa masih terpalit dengan imej kleptokrasi, namun disebabkan berlaku pertembungan banyak penjuru antara parti politik yang bertanding, undi anti-BN berpecah.

“Ini menyebabkan BN dapat memenangi PRN Melaka dan Johor walaupun ditolak majoriti rakyat.

“Mereka sependapat untuk sebolehnya mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU-15 bagi menghalang golongan kleptokrat dalam BN kembali berkuasa. Pandangan seumpama ini juga disuarakan oleh ramai penganalisis politik,” katanya.

Pada PRN Melaka, BN memperoleh 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, manakala pada PRN Johor, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN.

PALING POPULAR

To Top