Umum

Minyak masak subsidi: Kerajaan pertimbang pelbagai perkara sebelum laksana penguatkuasaan – PM

Penguatkuasaan terhadap penggunaan minyak masak paket bersubsidi oleh peniaga bukan perkara mudah kerana kerajaan perlu mempertimbang pelbagai perkara sebelum mengambil tindakan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam hantaran di Facebook dan Twitter rasmi beliau hari ini, Perdana Menteri berkata ada pihak yang cuba memutarbelitkan kenyataannya di Dewan Rakyat berhubung penggunaan minyak paket bersubsidi oleh ‘Makcik Goreng Pisang.’

“Sebenarnya, minyak paket yang bersubsidi itu adalah untuk kegunaan domestik bukan komersial.

“Namun apabila peniaga kecil menggunakan minyak berpaket, adakah kita akan saman mereka? Sudah pasti kita tidak sampai hati untuk mengeluarkan saman terhadap peniaga kecil yang menggunakan minyak paket,” menurut Perdana Menteri dalam hantaran itu.

“Tetapi kerajaan tidak berdiam diri. Insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik dalam menangani perkara ini,” katanya

Terdahulu di Dewan Rakyat, ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tindakan kerajaan dalam menangani ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan kaya, Ismail Sabri berkata minyak masak paket adalah untuk kegunaan domestik tetapi terdapat peniaga termasuk peniaga kecil yang turut menggunakannya.

“Satu lagi yang agak sukar kita nak kawal dan pengawal minyak (masak) ini pun tidak akan sampai hati nak ambil tindakan (terhadap) makcik-makcik yang jual goreng pisang. Mereka tidak boleh menggunakan minyak masak (subsidi) untuk kegunaan jual goreng pisang kerana minyak ini tidak boleh (digunakan) untuk komersial. Jadi salah.

“Tetapi adakah penguatkuasa nak saman makcik tukang masak ini atau rampas minyak masak ini? Nanti dituduh pula kita zalim kepada rakyat yang nak menjual, kais pagi makan pagi ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus berusaha menangani isu penyelewengan minyak masak termasuk mengaudit pengilang dan mengawal sempadan.

“Mereka yang paling senang menyeleweng iaitu ‘repackers’ atau pembungkus minyak. Mereka diberi kebenaran untuk membungkus satu tan minyak masak, contohnya, ke mana minyak masak itu dihantar. Jadi kita akan dapatkan butiran kilang-kilang tersebut, siapa penerima minyak masak tersebut.

“Yang kedua, sempadan. Penyeludupan barangan ini dari segi keutamaan jatuh ke nombor lima dan keenam. Nombor satu penyeludupan dadah diikuti penyeludupan senjata, penyeludupan manusia dan sebagainya.

“Tetapi setelah berlaku penyelewengan yang begitu teruk, banyak minyak yang dijual ke Thailand dan sebagainya, kita telah keluarkan arahan supaya bukan sahaja penguat kuasa KPDNHEP yang ditugaskan untuk mengawal penyelewangan ini tetapi pihak polis dan tentera juga akan terlibat dari segi pengawalan supaya minyak ini tidak diseludup ke negara lain,” katanya.

Menyentuh mengenai harga ayam dan telur, Ismail Sabri dalam hantaran di Facebook rasminya berkata intervensi kerajaan menunjukkan kejayaan kerana bekalan ayam kini stabil dan harga dapat dikurangkan.

“Telur masih diberi subsidi sebanyak 3 sen baru-baru ini. Mulai 1 Julai, harga ayam dikurangkan 20 sen dari segi subsidi dan kesan daripada tindakan kerajaan hari ini, harga ayam dan bekalan ayam sudah stabil.

“Walaupun kita tetapkan harga kawalan RM9.40 tetapi purata nasional harga ayam pada 9 Julai telah menurun kepada RM9.22 dan negeri Pahang merekodkan harga terendah iaitu RM8.95,” katanya.

— BERNAMA

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top