Seorang lelaki ditahan pihak berkuasa polis susulan satu hantaran di dalam media sosial berhubung barang kemas yang dipakai pembantu Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Individu tersebut ditahan bagi membantu siasatan melibatkan hantaran yang dibuat dalam akaun media sosialnya, Facebook terhadap Ketua Setiausaha Sulit Kanan PM, Datuk Nazimah Hashim.
Hantaran dalam media sosial pada tahun lalu mencetuskan kontroversi kerana didakwa memakai pakaian dan barang kemas mahal ke pejabat.
Lelaki berusia lewat 40-an itu ditahan di rumah ibunya kira-kira pukul 10 malam tadi.
Individu itu ditahan semalaman di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya dan dibawa ke mahkamah untuk mendengar permohonan reman pagi ini.
Siasatan dikatakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Pada Disember 2021, Nazimah dikecam pengguna media sosial selepas gambarnya memakai blazer mahal yang dianggarkan berharga RM4,000 tular.
Harga sebenar blazer tersebut sebelum diskaun dikatakan berharga RM7,000.
Nazimah turut didakwa memakai dua rantai leher berharga RM73,000 dan RM266,000, selain barangan yang kelihatan seperti kerongsang berjenama Chanel dikatakan berharga RM2,730.
Sumber: Agenda Daily