Umum

MPN bimbang kejatuhan ringgit, tapi Gabenor kata bukan pengukur keadaan ekonomi

Nampaknya Bank Negara Malaysia (BNM) tidak bimbang dengan kejatuhan ringgit dan tidak melihat ia sebagai pengukur kepada keadaan ekonomi negara.

Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menegur dan menyatakan kebimbangan kejatuhan ringgit yang menyebabkan kesan besar kepada rakyat, tetapi ia seakan tidak diendahkan oleh kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Untuk rekod, nilai ringgit jatuh teruk dan ia merupakan rekod terburuk sejak 24 tahun.

Malahan, semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri walaupun negara berdepan cabaran Covid-19 dan sektor ekonomi banyak ditutup tetapi nilai ringgit tidak jatuh seteruk ini.

Bagaimanapun, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata sebaliknya keadaan ekonomi negara perlu dinilai dari segi pertumbuhan, pasaran tenaga kerja baik dan sistem kewangan berdaya tahan yang terus memainkan peranannya dengan efektif.

“Lagipun, Malaysia mempunyai kedudukan luaran yang kukuh dengan lebih banyak aset mata asing berbanding liabillti mata wang asing.

“Pinjaman mata wang asing hanya menyumbang kurang daripada tiga peratus daripada jumlah hutang kerajaan persekutuan,” katanya dipetik laporan media hari ini.

Nor Shamsiah berkata sejak Januari tahun ini, nilai ringgit menyusut lebih daripada sembilan peratus berbanding dolar AS.

Menurutnya, kekuatan dolar adalah fenomena global bukan hanya berlaku kepada mata wang Malaysia sahaja

Malahan, katanya, dolar AS kini berada di paras tertinggi dalam tempoh dua dekad berikutan langkah mengetatkan dasar monetari yang agresif oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) yang menaikkan kadar dasarnya sebanyak 300 mata asas tahun ini.

Beliau berkata, sentimen mengelak risiko yang berpunca daripada konflik geopolitik serta prospek pertumbuhan global yang menyederhana telah meningkatkan lagi permintaan terhadap aset dolar.

Menurutnya, mata wang ekonomi utama lain juga turut menyusut berbanding dolar AS.

“Jika kita melihat bagaimana prestasi ringgit berbanding mata wang rakan dagang kita, unit tempatan meningkat berbanding yang lain dan menyusut berbanding yang lain.

“Malah, prestasi ringgit, sekiranya dibandingkan dengan mata wang rakan dagang Malaysia, secara relatifnya stabil. Ini menunjukkan bahawa kita kini berada dalam persekitaran dolar AS yang kukuh,” katanya.

Muhyiddin sebelum ini menggesa kerajaan perlu segera menangani isu kejatuhan ringgit dengan mencari pendekatan yang berkesan dan tidak boleh menganggap ia bukan satu krisis yang serius.

“Isu kejatuhan nilai ringgit juga tidak dipandang serius. Perdana Menteri tidak tampil menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.

“Malah dikatakan ini bukan masalah besar. Kononnya, Malaysia tidak berada dalam krisis. As if everything is okay.

“Saya tahu tidak semuanya okay di luar sana,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top