Business

Memacu Pertumbuhan Sektor Kewangan: Chartered Banker Berwibawa Terajui Era Transformasi

Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) baru-baru ini menganjurkan Majlis Penganugerahan Chartered Banker kali ke-8 bagi meraikan komitmen para profesional perbankan yang menzahirkan standard tertinggi dalam kecemerlangan profesional dan pembelajaran sepanjang hayat, khususnya dalam landskap kewangan yang semakin kompleks dan pesat berubah. Bertemakan “Memacu Pertumbuhan Sektor Kewangan”, majlis ini menekankan kepentingan melahirkan profesional perbankan dan kewangan yang beretika serta bersedia menghadapi masa depan, terutamanya dalam mendepani cabaran seperti keselamatan siber, privasi data, kewangan mampan, serta kemajuan pesat dalam transformasi digital dan teknologi kewangan (fintech).

Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour, dalam ucapan khasnya berkata:
“Malaysia telah melabur dengan signifikan dalam membangunkan bakat sektor kewangannya. Sepanjang ini, kami telah membangunkan satu ekosistem komprehensif yang merangkumi bakat yang menyediakan latihan, pensijilan dan panduan berwawasan masa depan mengenai kemahiran yang diperlukan dalam sektor kewangan. Saya juga ingin menekankan betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh institusi kewangan dalam melengkapi usaha ini menerusi akademi pembelajaran dan pembangunan masing-masing. Meskipun industri perkhidmatan kewangan telah bermanfaat daripada ekosistem pembangunan bakat yang kukuh, tindakan kolektif yang lebih menyeluruh diperlukan untuk memastikan daya tahan tenaga kerja masa depan.”

Antara sorotan utama majlis ini ialah penganugerahan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat oleh Presiden Chartered Banker Institute (CBI), Paul Denton, kepada Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim. Pengiktirafan global ini — yang pertama dianugerahkan oleh CBI dalam tempoh lebih sedekad — mengiktiraf kepimpinan jangka panjang Tan Sri Azman dalam memartabatkan perbankan beretika dan kecemerlangan profesionalisme di seluruh rantau.

Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim berkata: “Saya amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini. Anugerah ini mencerminkan kemajuan kolektif kita sebagai satu industri dalam menjulang profesionalisme beretika dalam bidang perbankan. Perbankan bukan sekadar angka — malah ia juga adalah tentang amanah, tadbir urus dan matlamat. Saya berharap anugerah ini akan menginspirasikan lebih ramai profesional untuk merangkul pembelajaran berterusan dan memimpin dengan integriti dalam membentuk masa depan sektor kewangan.”

Majlis ini turut mengiktiraf sumbangan Gabenor Eli M. Remolona, Jr. dari Bangko Sentral ng Pilipinas (Bank Pusat Filipina) menerusi Anugerah Fellowship Kehormat AICB – antara pengiktirafan tertinggi AICB. Anugerah ini mengiktiraf sumbangan Gabenor Remolona dalam memperkukuh integrasi perbankan ASEAN, pembentukan dasar yang berkesan, serta usaha memperkasakan pembangunan bakat dalam sektor kewangan serantau.

Gabenor Bangko Sentral ng Pilipinas Eli M. Remolona, Jr. berkata: “Penganugerahan Felo Kehormat yang berprestij oleh Institut Chartered Banker Asia (AICB) merupakan satu penghormatan yang amat besar bagi saya. Dalam dunia yang semakin saling berhubung ini, kerjasama serantau amat penting bagi meningkatkan standard perbankan di seluruh ASEAN. Saya berharap untuk memperkukuh kerjasama Malaysia–Filipina dalam pembangunan bakat, perkongsian ilmu pengetahuan, dan bidang utama yang menjadi kepentingan bersama, sekali gus memastikan sektor kewangan kita kekal kukuh, beretika dan bersedia untuk menghadapi masa hadapan.”

Seiring dengan perkembangan pesat sektor perbankan, AICB menegaskan komitmen untuk memperkasakan tenaga kerja menerusi pendidikan profesional yang relevan. Kelayakan utama AICB, iaitu Chartered Banker, yang dibangunkan melalui kolaborasi dengan Chartered Banker Institute (UK), kini menjadi penanda aras profesionalisme perbankan pada peringkat antarabangsa. Selain itu, AICB juga menawarkan pensijilan khusus dalam bidang transformasi digital, pencegahan jenayah kewangan, kewangan mampan dan banyak lagi.

Ketua Eksekutif AICB, Edward Ling, berkata: “Profesionalisme dan peningkatan kemahiran dalam perbankan bukan satu pilihan, malah keperluan. Di AICB, kami komited untuk memperluas komuniti Chartered Banker yang kini melebihi 800 orang dalam tempoh dua tahun ini. Menerusi program pendidikan kami yang kukuh, Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan dan inisiatif kepimpinan berwawasan dalam bidang seperti inovasi digital dan kewangan mampan, kami berusaha untuk melengkapkan ahli kami dengan kemahiran yang penting dan asas profesional yang kukuh bagi mendepani cabaran serta membentuk masa depan sektor perbankan dan kewangan.”

Majlis ini turut menyaksikan penganugerahan status Fellow Chartered Banker (FCB) kepada 14 tokoh industri yang dihormati, termasuk Ahli Majlis AICB, Dato’ Mohd Rashid Mohamad, Pengarah Urusan Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Bank Berhad. Sebanyak 71 ahli AICB dianugerahi status Chartered Banker (CB) manakala lebih 500 ahli menerima status Associate Chartered Banker.

Turut diraikan ialah para penerima Anugerah Kecemerlangan dan Anugerah Korporat. Disaksikan oleh lebih 480 tetamu termasuk ahli majlis AICB dan barisan eksekutif kanan industri, Majlis Penganugerahan Chartered Banker kali ke-8 ini mengukuhkan lagi peranan AICB dalam membina tenaga kerja perbankan yang berdaya tahan, beretika dan bersedia untuk masa hadapan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top