Pas Pahang menggesa supaya logo Perikatan Nasional (PN) diperkenalkan secara meluas mulai sekarang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.
Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, arahan itu dikeluarkan selepas Pas Pusat memutuskan untuk memperkukuh kerjasama di dalam PN atas prinsip penyatuan ummah.
Ujarnya, ia juga bermaksud Pas Pahang akan bertanding di dalam PRU15 di atas tiket PN.
“Logo yang bakal digunakan oleh Pas ialah logo PN.
“Jadi, logo ini mestilah diperkenalkan secara meluas dari sekarang di dalam apa sahaja medium sama ada media cetak atau media sosial,” katanya dalam kenyataan semalam.
Rosli berkata, Pas Pahang amat berharap kepada semua ahli yang memiliki sebarang akaun media sosial agar menukar profil berimejkan PN.
“Semoga Allah permudahkan segala urusan kita dan diberikan kekuatan untuk bekerja keras bagi merealisasikan hala tuju tema PN Teraju Pahang,” katanya lagi.
Sumber: Agenda Daily