Umum

Muhyiddin hargai setiakawan PAS

Tan Sri Muhyiddin Yassin menghargai semangat setiakawan yang ditunjukkan PAS untuk terus kekal bersama Bersatu, Gerakan, SAPP dan STAR di dalam Perikatan Nasional (PN) menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Presiden Bersatu itu berkata keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat hari ini memberi suntikan semangat kepada rakan-rakan PN untuk bergerak dengan lebih tersusun.

“Saya amat menghargai keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional dalam menghadapi PRU 15.

“Keputusan ini memberikan suntikan semangat kepada Perikatan Nasional untuk bergerak dengan lebih tersusun dan bersatu-padu dalam meraih sokongan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bersetuju parti itu terus kekal bersama PN.

“Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan pada hari ini, 13 Oktober 2022, telah membuat keputusan memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional untuk menghadapi PRU-15, atas prinsip penyatuan ummah.

“Selain itu mesyuarat juga memutuskan untuk memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi di negeri dengan Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat itu.

Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata beliau secara peribadi merakamkan penghargaan atas semangat setiakawan yang ditunjukkan Abdul Hadi dan rakan-rakan pimpinan PAS yang terus istiqamah mempertahankan kerjasama PAS dalam PN.

“Saya mendoakan semoga Perikatan Nasional mendapat mandat rakyat dalam PRU-15 untuk membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memberi tumpuan kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat,” katanya.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top