Perikatan Nasional (PN) Selangor menepis kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mendakwa prestasi ekonomi Selangor lebih baik selepas pendahulunya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meninggalkan pentadbiran negeri.
Setiausahanya, Muhammad Hilman Idham menyifatkan Amiruddin terperangkap dalam bayangan prestasi kepimpinan sebelumnya hingga memaksa Naib Presiden PKR itu melakukan penjenamaan semula terhadap pelbagai program kebajikan rakyat bagi memadam rekod pentadbiran Azmin Ali.
“Wajarlah Amirudin Shari mencermin diri terlebih dahulu sebelum mendabik dada sebegitu. Sudah menjadi resam dalam kepimpinan Amirudin Shari untuk seringkali mengaburi mata rakyat agar teruja dengan angka-angka yang besar. Sikap ini menjadikan kepimpinan Negeri delusional dan tidak realistik dalam banyak perkara.
“Misalnya, matlamat Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk menyumbang 30% daripada KDNK negara.
Sasaran ini sangat tidak realistik memandangkan Selangor perlu mencatatkan pertumbuhan secara Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) sekurang-kurangnya 9.5% setiap tahun khususnya dalam suasana ekonomi hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Hilman berkata pertumbuhan ekonomi di negeri Selangor meleset dari tahun ke tahun sejak 2018 lagi sehingga hari ini.
“Dakwaan prestasi ekonomi baik dengan semata-mata merujuk kepada angka sumbangan Negeri Selangor kepada KDNK negara adalah cubaan yang dangkal dan meleset.
“Hakikatnya, pertumbuhan Negeri Selangor meleset dari tahun ke tahun sejak 2018 sehingga lah hari ini biarpun sebelum berdepan pandemik.
“Pada tahun 2018, pertumbuhan ekonomi Selangor dicatatkan pada kadar 7.0%. Kadar pertumbuhan Selangor merosot kepada 6.8% pada tahun 2019 dan terus merosot akibat pandemik pada tahun 2020 pada kadar -5.2 dan hanya 5.0% pada 2021,” katanya.
Semalam, Amirudin menafikan kenyataan Azmin yang mendakwa prestasi negeri itu merosot di bawah pentadbirannya.
Kata Amirudin, sejak Azmin meninggalkan Selangor, prestasi ekonomi negeri itu terus menunjukkan peningkatan baik.
Sumber: Agenda Daily