PAS melahirkan kebimbangan berkaitan budaya yang semakin menular dalam kalangan umat Islam, terutama membabitkan anak-anak muda di mana mereka tidak mengambil peduli berkenaan pilihan raya.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata sekiranya keluar mengundi pun, golongan ini akan memilih calon yang mereka suka sahaja, bukannya atas dasar parti, sedangkan kaum Cina dan India yang bukan Islam memilih perjuangan parti.
Mengambil contoh kaum Cina tetap mengundi DAP walaupun calonnya adalah Melayu atau India, beliau berkata kaum itu tetap kekal memilih parti, berbanding calon.
“Kita ingin memerintah negara dan negeri. Jadi, kita perlu memilih orang yang mampu untuk mentadbir negara dan negeri. Jangan hanya berpandukan perasaan semata-mata. Akan tetapi, orang Melayu Islam yang masih muda ini tidak peduli. Perkara sebegini adalah bahaya.
“Apabila orang bukan Islam keluar mengundi sedangkan kita tidak mengundi, maka suara orang bukan Islam akan menjadi majoriti dan mereka akan memerintah kita.
“Barulah pada masa itu, kita sudah terhantuk baru tengadah,” katanya dalam E-Buku: Pendirian PAS dalam PRU-15, hari ini (Rabu, 19 Oktober 2022).
Presiden PAS itu mengimbas kisah umat Nabi Nuh AS, yang apabila datang banjir mereka menganggap tiada apa-apa pada awalnya, namun akhirnya, habis tenggelam termasuk bukit dan gunung.
“Adakah kita ingin menunggu orang lain menguasai negara kita sepenuhnya? Inilah banjir pemikiran yang kita kena sedar. Mengundi dan memilih pemimpin adalah wajib,” kata Presiden PAS itu.
Abdul Hadi juga memetik sirah Nabi Muhammad SAW di mana apabila Baginda wafat, setelah selesai solat jenazah, sebahagian besar sahabat berhimpun ke Saqifah Bani Sa‘idah untuk bermesyuarat dan mengundi siapakah yang akan menjadi pengganti Baginda dan hanya beberapa orang sahaja sahabat yang menguruskan jenazah.
Katanya mereka menganggap memilih kerajaan dan pemimpin adalah lebih penting daripada mengebumikan jenazah Rasulullah SAW.
“Malangnya, kebanyakan pondok kita hanya diadakan pengajian aqidah, fiqh dan tasawuf, tetapi tiada pengajian kitab sirah dan siasah.
“Maka, lahirlah segolongan mereka yang kuat agamanya dan pandai membaca ayat-ayat lazim sahaja sebagai imam, tetapi bab pemerintahan tidak tentu hala. Keadaan ini menyebabkan umat Islam semakin hari semakin lemah kerana meninggalkan tanggungjawab yang sangat besar.
“Tanggungjawab mengundi adalah sangat besar dan kita perlu menunaikan tanggungjawab ini. Kita berharap agar dipilih jemaah kita iaitu PN,” katanya lagi.
Mengenai penggunaan logo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Abdul Hadi berkata penggunaan lambang bulan di tiga negeri adalah disebabkan penduduknya lebih mengenali logo PAS.
“Di negeri Terengganu, Kelantan, dan Kedah yang kita memiliki kekuatan, kita akan menggunakan simbol bulan (simbol PAS). Negeri lain, terserah sama ada ingin mengguna pakai simbol bulan ataupun PN.
“Apa yang penting, kita ingin mengajak semua rakyat sama ada yang Islam mahupun bukan Islam untuk menolak pemberi rasuah, penerima rasuah, yang teruk dan yang keruh. Pilihlah pihak yang ingin menjernihkan keadaan,” katanya.
Sumber: Agenda Daily