Umum

Bersatu komited satukan ummah, asal untuk kepentingan negara – Faizal Azumu

Bersatu terus komited terhadap usaha penyatuan ummah dan tetap terbuka untuk membentuk kerjasama dengan UMNO menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tak lama lagi.

Bagaimanapun, tegas Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, matlamat kerjasama itu mesti berpaksikan kemaslahatan negara dan bukannya untuk kepentingan peribadi.

Keterbukaan Bersatu untuk menjayakan perpaduan ummah itu katanya terlihat dengan kedudukan beliau sebagai menteri kabinet dipimpini Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri selaku Perdana Menteri.

Juga kejayaan pentadbiran gabungan Sabah yang lancar dan makmur di bawah pimpinan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menterinya.

“Kita lihat kepimpinan Datuk Seri Hajiji begitu utuh sekarang ini, mendapat sokongan daripada kepimpinan UMNO dan kita lihat hari ini syarikat-syarikat GLC di Sabah membawa keuntungan yang banyak kepada kantung negeri.

“Maka jika Datuk Seri Hajiji memainkan peranan untuk menyatukan parti-parti politik besar di Sabah itu melalui GRS (Gabungan Rakyat Sabah) maka ini perlu diteruskan,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Tegasnya, prinsip dan matlamat penyatuan itulah yang terus diperjuangkan dan cuba disampaikan Bersatu.

Demi kepentingan ramai, Bersatu katanya terbuka untuk berbincang asalkan apa yang dilakukan itu mendahulukan rakyat melebihi daripada kehendak peribadi.

“Sembahyang jangan ada dua imam, jangan kita terlalu jumud dalam berpolitik.”

Begitupun, kata Ahmad Faizal, andai UMNO terus menolak mereka maka Bersatu tiada pilihan selain untuk terpaksa ‘bermusuh’ dengan UMNO dalam PRU15 nanti.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top