Umum

Zahid cakap lain, Ismail Sabri kata lain tapi nak salahkan pak lebai

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata Barisan Nasional (BN) akan mengutamakan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) akan datang sebelum melayan perbincangan mengadakan pakatan politik dengan mana-mana pihak.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO itu menegaskan sebarang keputusan berhubung kerjasama dengan parti politik lain di luar BN akan dibuat mengikut budi bicara majlis tertingginya.

“Apa-apa sahaja mengenai kerjasama politik mesti diputuskan oleh parti… sesiapa sahaja, tidak kira sama ada Bersatu atau PAS yang mahu bekerjasama dengan kita, ia mesti diputuskan oleh parti dan akan dibawa ke mesyuarat majlis tertinggi parti.

“Kita perlu menang pilihan raya umum dan barulah kita boleh bercakap mengenai kerjasama atau membentuk pakatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Keusahawanan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Kuala Selangor, menurut laporan Malay Mail.

Sudah tentulah kenyataan yang beliau katakan itu terbit daripada anggapan hasil keputusan PRU-15 – dijangka diketahui pada malam 19 November depan – di mana sekiranya BN gagal menubuhkan kerajaan baharulah mereka akan mencari rakan politik.

Bagaimanapun, kenyataan Naib Presiden UMNO itu menyanggah apa yang disebut oleh ketua nombor satu beliau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan BN menolak sebarang bentuk rundingan bersama PAS selepas PRU-15, dengan menganggap parti itu sebagai kawan yang tidak setia.

Melabelkan PAS adalah parti ‘pak lebai’, bekas Timbalan Perdana Menteri yang sedang menghadapi 87 pertuduhan jenayah, termasuk rasuah, mengatakan pemimpin PAS dilihat sering berubah-ubah dalam menentukan pendirian, dan percakapan, selain turut menggunakan ayat al-Quran dan hadis yang ditafsir oleh mereka sendiri.

Memetik laporan BH semalam (19 Oktober 2022), Pengerusi BN itu pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di Dataran Serdang, Bandar Baharu, Kedah berkata:

“Kita jangan pedulikan pak lebai bersama kita (BN) atau tidak, pak lebai petang cakap lain, malam cakap lain. Dia kata kita durian mentah belum masak, ingat pak lebai ada durian tak cukup masak gugur, takut kena kepala pecah.

“Apabila ada situasi politik baharu mereka keluar fatwa baharu, bila untuk dirinya keluar fatwa baharu, bila nak salahkan orang keluar. Guna ayat al-Quran dan hadis yang maknanya tetap sama, tetapi ditafsir berlainan. Cukuplah pak lebai, bertaubatlah cepat.”

“Mereka beritahu tunggu lepas pilihan raya kita runding, BN jawab dengan cepat pilihan raya belum lagi kita sedang menghadapi realiti ketika ini. Jangan runding lepas pilihan raya, kita bukan riak, sombong, takut atau pengecut. Rakyat sudah sedar dan akan beri kepercayaan semula kepada BN.

“Ketika itu apabila kita berjaya bentuk kerajaan, baharu ada orang terhegeh-hegeh hendak jumpa kita, kita akan cakap cukup sampai di sini dan semua sudah terlambat.”

Menilai kenyataan Zahid dan Ismail Sabri yang bertentangan satu sama lain itu memperlihatkan presiden UMNO seolah-olah membuat keputusan sendiri, sedangkan naib presidennya menyatakan sebarang keputusan kerjasama mesti melalui majlis tertinggi parti.

Dan, sekiranya tidak mahu bekerjasama dengan PAS atau Bersatu bagi membentuk kerajaan selepas PRU-15 ini, adakah Zahid sedia bekerjasama dengan parti cikgunya? Tidak mustahil kerana sejarah telah membuktikannya.

Terdahulu hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan hari pengundian PRU-15 adalah pada 19 November, dengan pengundian awal (15 November), dan hari penamaan calon (5 November).

Seramai 21,173,638 pemilih layak mengundi pada PRU-15 ini yang melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan Perlis (15 kerusi), Pahang (42) dan Perak (59), serta Sabah (satu – PRK DUN Bugaya).

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top