Umum

Banduan tidak boleh keluar sebarang kenyataan, kata Jabatan Penjara ulas isu Najib

Seseorang individu yang bergelar banduan tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan di luar penjara, menurut penjelasan Jabatan Penjara Malaysia.

Penjelasan Jabatan Penjara tersebut berikutan dakwaan mengatakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini bergelar banduan mempunyai akses kepada dunia luar selepas beberapa kenyataan dalam akaun Facebook peribadinya yang dilihat aktif kebelakangan ini.

“Setakat ini tiada apa-apa kenyataan yang boleh dikeluarkan oleh banduan dari dalam penjara.

“Tidak dibenarkan mengeluar apa-apa kenyataan, malahan surat yang dikeluarkan termasuk dokumen yang dikeluarkan pun ditapis terlebih dahulu,” kata Pengarah Bahagian Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Malaysia, Supri Hashim dipetik laporan BH hari ini.

Terdahulu, media melaporkan dakwaan kononnya Najib diberikan akses menggunakan telefon bimbit selepas beberapa kenyataan dalam Facebook yang seakan-akan ia dikendalikan oleh penjenayah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tersebut.

Supri berkata, sebarang dokumen termasuk surat kepada keluarga, yang ingin dihantar oleh banduan juga akan ditapis terlebih dahulu oleh pihak penjara.

“Program politik kita tiada kena mengena. Kita laksanakan tanggungjawab,” katanya.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan serta hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap Najib dan kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Datuk Nordin Muhammad menjelaskan tiada kebenaran diberikan kepada Najib untuk keluar berkempen pada PRU-15 nanti.

“Keadaan dan peraturan masih sama… jadi selagi beliau masih menjalani hukuman dalam penjara, beliau tertakluk kepada akta dan peraturan penjara,” katanya dipetik laporan media sebelum ini.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top