Umum

Menteri Kesihatan perlu beri penjelasan calon BN Pengkalan Chepa guna sijil palsu?

Seorang calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di kerusi Parlimen Pengkalan Chepa didakwa tidak habis belajar dalam jurusan perubatan tetapi masih menggunakan gelaran ‘doktor’ dalam resume pencalonannya.

Calon BN tersebut, Mohd Hafiezulniezam Mohd Hasdin didakwa belum lulus pengajian dalam bidang perubatan kedoktoran dan sijil ijazah yang dimilikinya adalah palsu, menurut maklum balas daripada pihak Universitas Gadjah Mada (UGM).

Aktivis politik, Liyana Marzuki yang mula-mula membuat pendedahan berhubung isu tersebut hari ini memuat naik e-mel yang diterimanya daripada pihak universiti tersebut selepas membuat pertanyaan.

“Saya dengan ini mengemukakan bukti daripada pihak Universiti Gajah Mada menjawab email rasmi yang dibuat oleh pihak saya,” kata Liyana dalam hantaran Facebooknya.

Menurut Liyana lagi, calon BN tersebut juga bukan alumni UGM, sijil Ijazah yang diviralkan juga adalah palsu dan surat itu juga mengatakan beliau tidak tamat pengajian.

“Ia mengatakan Calon BN ini bukan merupakan alumni UGM, sijil Ijazah yang diviralkan juga adalah palsu. Surat itu juga mengatakan beliau tidak tamat pengajian.

“Saya juga telah menyemak kembali database Kementerian Pendidikan Tinggi Indonesia, ia juga merekodkan calon ini belum lulus pengajian,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Liyana juga menggesa calon ini agar berterus terang kepada rakyat dalam masa 24 jam atau berdepan tindakan undang-undang ekoran penipuan dilakukannya.

“Sekiranya tiada kenyataan dan bukti daripada beliau dalam tempoh masa tersebut, saya akan meneruskan melalui laporan polis dan peguam saya akan mengambil tindakan selajutnya untuk menyaman beliau.

“Saya selalu percaya, ‘the power in people is greater than the people in power’.

“Bangkit anak bangsaku, jangan dibiarkan pemimpin sebegini menang pilihanraya dan memerintah kita,” katanya.

Semalam, melalui dada akhbar arus perdana, calon BN Pengkalan Chepa itu menjawab dakwaan terhadap dirinya dengan mengatakan pihak Universiti telah mengesahkan sijil pelajaran beliau adalah sah.

Namun, Mohd Hafiezulniezam tidak pula memberi sebarang bukti bagi menunjukkan kesahihan sijil dimilikinya.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top