Rakyat perlu membuat pertimbangan yang sewajarnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika tidak mahu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri (PM).
Bayangan jelas sudah ditunjukkan jika Barisan Nasional (BN) menang pada PRU-15 Sabtu ini tidak mustahil Presiden UMNO itu akan dilantik menjadi PM Ke-10, namun Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan sama ada isu rakyat akan menjadi keutamaannya.
“Apakah saudara fikir Zahid Hamidi kalau jadi Perdana Menteri akan berfikir soal itu (masalah negara)? Dia fikir soal apa? Soal diri dia saja, cari jalan nak dibebaskan,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu semasa ceramah di Pasir Gudang malam tadi.
Untuk rekod, Zahid ketika ini sedang berdepan puluhan pertuduhan melibatkan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi yang masih dalam perbicaraan.
Muhyiddin berkata Zahid tidak akan sempat untuk berfikir untuk menyelesaikan masalah rakyat kerana dirinya sendiri berdepan masalah besar dan sedang berdepan pendakwaan di mahkamah ketika ini.
“Dia (Zahid) tak akan fikir soal orang Pasir Gudang, dia langsung takkan fikir orang Muar, soal orang Pagoh, tak fikir soal orang Felda.
“Isu masalah rakyat takkan dijadikan sebagai satu tanggungjawab dengan kerana dia berdepan masalah besar, betul tak?” katanya lagi.
Muhyiddin berkata pakar ekonomi menjangka negara akan berdepan satu lagi cabaran pada tahun depan dan kerajaan yang stabil diperlukan untuk berdepan cabaran ekonomi yang lebih mencabar tahun depan.
“Kita tidak ada banyak pilihan, dulu tidak ada Perikatan Nasional, dulu tidak ada pilihan.
“Nak tak nak pangkah saja Barisan Nasional (BN), saya tahu pangkah juga kerana takut terpangkah DAP, aniaya hidup… Kali ini Perikatan Nasional adalah pilihan yang lebih baik, rakyat ada pilihan,” katanya lagi.
Sumber: Agenda Daily