Umum

Cadangan MPN disokong, elak rakyat tercicir bantuan

Situasi kenaikan harga barangan, peningkatan kos sara hidup serta penyusutan pendapatan yang berlaku pada ketika ini memberi kesan kepada kehidupan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

Menurut data Portal Pembasmian Kemiskinan (e-Kasih) yang direkodkan sehingga 30 Jun tahun ini, hampir 145,000 Ketua Isi Rumah (KIR) telah dikategorikan sebagai miskin tegar dan jumlah tersebut dilihat semakin meningkat.

Sebagai inisiatif untuk menyelesaikan permasalahan berkenaan, Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah menyarankan kerajaan untuk mengambil langkah intervensi segera bagi memastikan impak kepada rakyat yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup dapat diminimumkan.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mencadangkan satu sistem bersepadu bagi memudahkan proses penyaluran bantuan secara menyeluruh dan berpusat, selari dengan kenaikan nilai bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari RM300 kepada RM1,000.

Menerusi inisiatif ini, data penerima bantuan yang layak dari semua agensi dapat diintegrasikan dalam satu sistem sama merangkumi proses penyaluran bantuan termasuk subsidi, boleh diselaraskan dan diagihkan secara tulus.

Cadangan ini berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang boleh mengenal pasti bantuan jangka masa pendek, sederhana dan panjang kepada rakyat terjejas dan memerlukan bantuan.

Agenda pemulihan yang bersifat inklusif ini secara tidak langsung dapat memastikan tiada golongan yang akan terpinggir dan tercicir, khususnya masyarakat di pedalaman, orang asal serta peribumi Sabah dan Sarawak.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top