Umum

Naib Ketua UMNO bahagian-bahagian desak Ahmad Zahid, Mohamad Hassan letak jawatan

Naib Ketua UMNO Bahagian-Bahagian Malaysia mendesak Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan sebagai Presiden dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) susulan kekalahan gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), semalam.

Pengerusinya, Datuk Muhammad Anuar Mohd. Yunus berkata, kekalahan itu disifatkan sangat memalukan malah lebih teruk berbanding PRU14 apabila hanya  menang 30 kerusi Parlimen secara keseluruhan. 

Beliau turut mendesak Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan  melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden sebagai tanda bertanggungjawab atas kekhilafan strategi dan calon-calon yang dipertaruh pada pilihan raya kali ini. 

“Kegagalannya mengotakan beberapa janji termasuk mengekalkan penyandang-penyandang ahli Parlimen dan kriteria boleh menang, diterima dan disukai yang diuar-uarkan mengakibatkan berlaku defisit kepercayaan penyokong serta rakyat. 

“Bagaimanapun, kami mengucapkan terima kasih atas sumbang bakti mereka selama memimpin, namun, penolakan jelas rakyat terhadap UMNO. Perkara ini terpaksa diambil kira bagi meletakkan semula kepercayaan rakyat seterusnya mengembalikan UMNO di hati mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Kata Muhammad Anuar, sebarang perbincangan dan usaha menyatukan UMNO dan BN dengan Pakatan Harapan (PH) adalah tidak diterima. 

“Kami percaya dengan asas perjuangan UMNO selama ini untuk menegakkan syiar agama dan perjuangan masa hadapan orang Melayu dan bumiputera. Oleh itu, persefahaman dengan PH adalah suatu pengkhianatan paling besar dan mereka yang bersekongkol dengan usaha ini tidak boleh dikompromi,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata, semua pemimpin UMNO yang dilihat dekat di hati rakyat negara ini hendaklah diberi tempat serta-merta di dalam kepemimpinan Majlis Tertinggi UMNO. 

“Kami berpendirian untuk meneliti kembali pola kekalahan BN di kawasan-kawasan yang selama ini diberi khidmat membela rakyat yang cemerlang oleh penyandang-penyandang kita sebelum ini. 

“Malangnya, mereka dinafikan untuk kembali bertanding sehingga BN tewas di kawasan-kawasan berkenaan. Maka, mereka harus diberi tempat dan peranan di dalam pucuk pimpinan parti bagi menunjukkan penghargaan parti terhadap isyarat rakyat,” katanya. 

Keputusan PRU15 semalam menyaksikan parti-parti politik berdepan masalah membentuk kerajaan Persekutuan baharu kerana tiada yang mencapai majoriti mudah sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen. 

PH menang 82 kerusi; Perikatan Nasional (PN) menang 73 kerusi; BN (30); Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 22 kerusi; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang enam kerusi, Parti Warisan (Warisan) menang tiga kerusi; Bebas (dua); Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi. – UTUSAN

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top