Umum

Doakan PM dari Perikatan Nasional angkat sumpah hari ini: Sanusi

Rakyat Malaysia disarankan berdoa bagi memastikan kelancaran seorang Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) akan mengangkat sumpah pada hari ini, kata Datuk Seri Sanusi Md Nor.

Menteri Besar Kedah itu berkata senarai nama Ahli Parlimen (MP) yang menyokong Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM Ke-10 akan dihantar ke Istana Negara hari ini dan mendedahkan sudah mendapat angka yang cukup untuk membentuk kerajaan yang baharu.

“Saya harap semua pakat berdoa semoga senarai nama yang perlu dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum 2 petang, dapat diserahkan dan selepas itu, majlis angkat sumpah perdana menteri daripada PN insya-Allah akan berlaku pukul 4 petang.

“Doakan supaya semua ini berjalan dengan sempurna seperti diharapkan untuk kita bawa negara ini menjadi prihatin, bersih dan stabil,” katanya dipetik portal Utusan Malaysia.

Sanusi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran PN Kedah di Kompleks PAS Kedah, malam tadi.

Dalam pada itu, Sanusi menggesa ahli serta pemimpin UMNO menghalang daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meneruskan kerjasama dengan cikgunya dan juga DAP untuk membentuk kerajaan.

“Zahid sedang mengheret UMNO untuk melanggar ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) iaitu ‘No Anwar, No DAP’. Bahaya melibatkan Anwar, DAP dan fahaman-fahaman dikendong perjuangan mereka sudah disebut banyak kali sebelum ini.

“Jadi kalau ahli-ahli UMNO terus merestui tindakan presiden mereka untuk memaksa MP Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan bersama PH (Pakatan Harapan), maknanya mereka akan jadi pengkhianat terbesar dalam sejarah umat Islam di negara ini,” katanya.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top