Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) menggesa parti politik dan ahli Dewan Rakyat, termasuk 26 wakil UMNO, memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Presiden PINTAR, Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor, berkata pendirian itu perlu ekoran mandat terbesar rakyat Malaysia ingin kerajaan yang stabil memperjuangkan hak kelompok majoriti Melayu-Islam dan masa sama mengangkat hak kaum lain di negara.
PINTAR menjunjung tinggi kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
“Melihat kepada perkembangan semasa mengenai perlantikan Perdana Menteri ini, ia tidak wajar dilengahkan oleh mana-mana ahli Dewan Rakyat khususnya melalui parti-parti yang telah dipilih di dalam PRU15 lalu.
“Mengambil sikap berkecuali dalam keadaan sekarang adalah suatu perkara yang perlu dinilai semula kerana kita tidak mahu negara terumbang-ambing tanpa dapat dilantik seorang Perdana Menteri yang akan menjalankan tugas-tugas eksekutif dalam mentadbir negara,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Mohd Roslan berkata, mandat rakyat telah diperoleh, di mana sebelum PRU15 diadakan, kita sering mendengar agar soal politik negara dikembalikan kepada rakyat dan sekarang, mandat itu telah jelas berdasarkan keputusan PRU15 yang diperoleh.
Katanya, oleh kerana pembentukan kerajaan pada kali ini memerlukan kerjasama dan sokongan parti-parti yang menang dalam PRU15 disebabkan tiada yang mendapat majoriti mudah, maka lebih munasabah kerjasama parti politik yang wujud dalam kerajaan sebelum PRU untuk duduk bersama berbincang membentuk kerajaan pasca PRU15 ini.
“Di atas sebab ini, PINTAR menggesa parti-parti politik dan ahli-ahli Dewan Rakyat khususnya 26 orang dari UMNO untuk memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.
“Ini disebabkan mandat terbesar rakyat Malaysia adalah ingin melihat kerajaan yang stabil yang memperjuangkan hak-hak kelompok majoriti Melayu-Islam dan dalam masa yang sama turut mengangkat hak-hak kaum lain di dalam negara.
“Melalui keputusan PRU15 yang ada, pilihan terbaik buat UMNO dan BN adalah untuk memberi sokongan kepada PN untuk bersama-sama membentuk kerajaan.
Sanjungilah kesediaan parti-parti dari Sabah dan Sarawak melalui GPS dan GRS yang sudah memberikan sokongan kepada PN untuk membentuk kerajaan secara bersama,” katanya.
Mohd Roslan berkata, adalah sangat wajar bagi ahli Dewan Rakyat daripada UMNO dan BN untuk menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.
“Memilih untuk bersikap berkecuali sebenarnya adalah bukan pilihan buat masa ini. Rakyat dan negara memerlukan kerajaan dibentuk segera untuk melicinkan pentadbiran dan urusan yang perlu dilakukan.
“Kita tidak mahu melihat pemimpin parti Melayu terus bertindak sepi, merajuk, tidak mahu bekerjasama dan sebagainya. Cukuplah dengan apa yang berlaku selepas PRU14 lalu yang menyebabkan rakyat bangkit mempertahankan hak mereka yang cuba dirobek ketika ada pemimpin yang bercakaran,” katanya.
Katanya, PINTAR merasakan sekiranya pemimpin ini masih mengambil sikap berkecuali, maka kebimbangan yang dinyatakan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad akan menjadi kenyataan, di mana pemimpin UMNO dilihat tidak lagi mempedulikan kepentingan orang Melayu, sebaliknya hanya memikirkan kepentingan politik sempit sendiri.
“Sedangkan, dengan menjaga kepentingan orang-orang Melayu inilah merupakan kunci kepada kestabilan negara sejak merdeka.
“PINTAR juga menggesa Ahli Parlimen UMNO konsisten dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO menolak DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mengambil sikap berkecuali di waktu kritikal begini adalah memberi muka kepada kedua-duanya, selain satu sikap tidak bertanggungjawab kepada negara,” katanya.
Beliau berkata, ahli Dewan Rakyat UMNO perlu memberikan sokongan padu kepada kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-10 dan turut sama dengan PN untuk membentuk kerajaan yang stabil dan kuat.
Sumber: Berita Harian