Naratif isu dana judi dijadikan modal baharu gandingan cikgu dan anak murid bagi memastikan pengundi di Padang Serai dan Tioman terpedaya untuk mengundi calon kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Selepas menipu rakyat kononnya tidak ada kerjasama antara cikgu dan anak murid, kedua-dua rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini perlu mencari naratif politik baharu bagi memastikan rakyat percaya dengan tuduhan yang direka supaya dapat menang pilihan raya.
Anwar dan Zahid selepas menipu rakyat dan penyokong mereka semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kini berharap rakyat akan menerima sekali lagi pembohongan mereka berdua.
Zahid semasa kempen PRU-15 berdegar-degar kata ‘No Anwar, No DAP’, sementara Anwar pula berdegar-degar berkata tidak akan berkerjasama dengan penyamun UMNO.
Bagaimanapun lain pula jadinya apabila kedua-dua mereka menjalinkan kerjasama untuk membentuk kerajaan, malah Anwar sanggup mengenepikan prinsipnya apabila melantik seorang ahli politik yang sedang berdepan pendakwaan di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Keputusan Anwar bercanggah dengan slogan reformasi dan integriti yang selama ini dicanangnya, kini boleh pula bekerja dengan sang koruptor demi memastikan jawatan disandangnya kekal selamat tanpa gangguan.
Langkah melantik Zahid bukan dibuat secara merit, sebaliknya dibuat semata-mata kerana tidak mahu kerajaan PH-BN diganggu dengan drama menarik sokongan yang pernah dicipta oleh Presiden UMNO itu sendiri.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tuduhan dibuat oleh Anwar bersama anak muridnya itu sebagai satu tuduhan yang berat dan menafikan sama sekali ada menerima dana politik daripada syarikat perjudiaan seperti didakwa tersebut.
“Dia kata kita kempen pilihan raya pakai duit judi, kot dia kot… saya tak nak kata tapi ada maklumat kata kot dia kot.
“Nak urus pilihan raya kerana kami dah sengkek tak ada duit Wallahi, kami tak lakukan perkara-perkara yang haram sebegitu.
“Takkan kami terima walau satu sen pun sumbangan daripada mana-mana pihak syarikat gaming hanya kerana kami nak duit… haram.
“Yang Anwar Ibrahim, Perdana Menteri boleh buat tuduhan ini, ini tuduhan berat… Baru naik hari ini kabinet dah buat tuduhan,” katanya semasa ceramah malam tadi di Parlimen Padang Serai.
Dalam pada itu, PAS mencabar Anwar untuk membuktikan tuduhannya tersebut dan tidak hanya pandai menabur fitnah demi semata-mata mahu mendapatkan undi dalam pilihan raya di Padang Serai dan Tioman.
“PAS amat kesal dengan tuduhan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, yang membayangkan kononnya dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) datang dari syarikat perjudian.
“Tuduhan tersebut langsung tidak berasas dan PAS menuntut Perdana Menteri PH memberikan bukti yang nyata terhadap tuduhan liar tersebut jika ada,” kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan malam tadi.
Takiyuddin juga berkata sekiranya Anwar gagal membuktikan tuduhan liarnya tersebut, tindakan mengikut undang-undang akan dipertimbangkan terhadap Presiden PKR yang sangat sayang dengan anak muridnya, Zahid yang juga Presiden UMNO itu.
“Sekiranya gagal Perikatan Nasional akan meneliti suatu tindakan perundangan terhadap pihak-pihak yang memfitnah,” katanya lagi.
Terdahulu, Anwar mendakwa dana pilihan raya untuk parti ‘Melayu’ dan parti
‘Islam’ datang dari syarikat perjudian.
“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.
“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” katanya semasa sidang media semalam.
Sumber: Agenda Daily