Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan mengambil tindakan terhadap Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, yang mendakwa terdapat badan sukan di negara ini yang dibelenggu gejala rasuah.
Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim juga mengingatkan Ketua AMK PKR itu supaya tidak mengeluarkan tuduhan sesuka hati tanpa mendapatkan maklumat lengkap terlebih dahulu.
“Terlebih dahulu saya ingin memberitahu Timbalan Menteri Belia dan Sukan bahawa beliau adalah orang baharu dalam dunia sukan.
“Jangan sekali-kali hendak menjadi juara dengan melemparkan kenyataan-kenyataan yang tidak berasas dan kurang fakta.
“Sila dapatkan maklumat lengkap bagaimanakah badan-badan sukan diuruskan oleh orang-orang yang dipilih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (14 Disember 2022).
Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau mengingatkan Adam Adli bahawa beliau sepatutnya mempertahan sukan dan bukannya mengeluarkan komen untuk memburukkan nama baik sukan dan persatuan.
“Ini adalah kurang sihat dan tidak sesuai dikeluarkan oleh seorang Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
“Sila buktikan badan sukan mana yang terlibat dengan rasuah. Jika tidak kami akan mengambil tindakan terhadap dakwaan yang tidak berasas ini,” katanya lagi.
Sebelum ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut menggesa Adam Adli supaya menjustifikasikan dakwaan bahawa badan sukan di negara ini dibelenggu oleh gejala rasuah.
Dakwaan Adam Adli itu disifatkan MOM tidak berasas dan tidak wajar dikeluarkan oleh seorang Timbalan Menteri Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria meminta penjelasan berhubung isu yang dibangkitkannya tersebut sambil menyifatkan kenyataan sedemikian adalah tidak wajar, tidak adil dan prejudis kerana pelbagai badan sukan negara berjaya melahirkan juara dunia dalam sukan masing-masing selama berdekad-dekad.
Sumber: Agenda Daily