Umum

Banjir lumpur Bentong: Penduduk gesa kerajaan segera kenal pasti punca

Penduduk sekitar lokasi insiden tanah runtuh di Jalan Kuala Lumpur – Bentong pada Ahad mahu kerajaan segera mengenal pasti punca kejadian terbabit.

Menurut Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ketari, Su Keong Siong, penduduk meluahkan kebimbangan mereka sehubungan dua insiden tanah runtuh di lokasi sama dalam tempoh tidak sampai setahun.

Menurutnya, jalan di situ baharu sahaja siap dibaiki beberapa bulan lepas namun kini sekali lagi mengalami kerosakan teruk.

“Penduduk hendak kerajaan mengenal pasti apa puncanya sebab buat masa sekarang ada banyak spekulasi.

“Ada yang kata ada buka ladang di atas, tanam kebun sayurlah dan semua itu. Tapi bagi saya, saya tak mahu buat spekulasi.

“Saya harap pihak berkuasa siasat segera apa puncanya dan apakah yang perlu dilakukan untuk mengurangkan risiko ini sebab dalam satu tahun, dua kali berlaku.

“Ini memang satu kejadian yang patut kita ambil berat,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Isnin.

Tambahnya, beliau berharap kerajaan membaiki segera jalan tersebut kerana ia merupakan laluan utama penduduk untuk pergi kerja dan pulang ke rumah.

Jalan Kuala Lumpur-Bentong yang menghubungkan Genting Sempah ke Janda Baik ditutup sementara kepada semua kenderaan selepas mengalami runtuhan akibat kepala air pada Ahad.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, runtuhan melibatkan laluan sepanjang 50 meter itu terletak 1.5 kilometer dari simpang Janda Baik.

Dalam perkembangan lain, Keong Siong meminta pihak berkuasa untuk memasang lampu jalan di lebuh raya selepas Terowong Karak menghala ke Bentong.

“Dari Kuala Lumpur sampai terowong memang ada lampu tapi lepas terowong, gelap gelita. Banyak kemalangan berlaku di situ.

“Kadangkala dalam satu minggu, kemalangan berlaku hampir setiap hari. Kami telah bangkitkaan isu ini.

“Kami berharap pihak berkuasa terutamanya pihak berkuasa lebuhraya dapat tambah lampu jalan dan papan tanda keselamatan,” ujarnya.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top