Umum

Usul kekosongan DUN Pulau Pinang lulus walaupun wakil rakyat tak lompat parti

Usul pengisytiharaan kekosongan empat kerusi yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.

Ironinya, empat ADUN tersebut tidak lompat parti dengan dua daripadanya kekal sebagai ahli Bersatu, sementara dua bekas ahli PKR dipecat parti sebelum menyertai Bersatu.

Usul tersebut diluluskan di bawah Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Speaker, Datuk Law Choo Kiang mengesahkan keputusan itu dicapai setelah selesai sesi perbahasan daripada semua ADUN yang mengambil bahagian dengan sokongan majoriti ADUN yang sebulat suara bersetuju melululuskan tersebut.

Choo Kiang meluluskan usul itu menerusi undian suara selepas semua ADUN yang hadir menyatakan ‘ya’ kedengaran lebih ramai dan kuat berbanding menyatakan ‘tidak’.

Beliau mengumumkan senarai nama ADUN dan kerusi terbabit adalah ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, Zulkifli Ibrahim (ADUN Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (ADUN Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (ADUN Telok Bahang).

“Pengisytiharan berkenaan diluluskan menurut Fasal 14 (A)(4) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dengan DUN hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah berlaku kekosongan kerusi berkenaan.

“Dewan ini juga mengambil maklum mengenai usul mengikut Fasal (5) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang bahawa satu kekosongan luar jangka tidak boleh diisi memandangkan DUN Pulau Pinang akan terbubar dalam tempoh kurang daripada dua tahun.

“Maka dengan itu dewan memohon supaya empat ADUN terbabit mengosongkan kerusi dan meninggalkan dewan persidangan sekarang.

“Terima kasih semua cara yang paling baik mengosongkan empat kerusi selepas kita beri ruang masa secukupnya seterusnya diluluskan dewan yang mulia ini,” katanya dipetik laporan BH.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top