Umum

‘Kita mesti berfikiran New York tetapi berjiwa Mekah’

Keseimbangan antara kesejahteraan fizikal dan rohani adalah formula terbaik untuk melahirkan graduan berkualiti.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasrat tersebut direalisasi dengan penyediaan sistem pendidikan pra-sekolah sehingga peringkat universiti di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Jelas Zahid, di bawah KKDW terdapat institusi pendidikan pra-sekolah, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), institusi TVET, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech MARA (UPTM). Semua institusi itu diterapkan keseimbangan fizikal dan rohani dalam silibusnya.

“Saya sering berceramah, kita mesti berfikiran New York tetapi berjiwa Mekah. Bererti kita mahu kemajuan dalam masa yang sama kita mempertahankan agama.

Kombinasi soal keterampilan, kemahiran dan nilai akademik. Kadang-kadang orang lihat hanya nilai akademik. Kita buat transformasi kepada kerjaya pekerja kolar putih dan kolar biru.

“Dulu orang pandang rendah kepada pekerja kolar biru. Mereka mahu anak-anak menjadi ahli profesional. Sebenarnya dari segi pendapatan, pekerjaan kolar biru memberikan pulangan kerjaya yang cukup baik.” katanya dalam program Agenda Awani.

Katanya, di pihak KKDW, graduan yang dilahirkan disasarkan untuk mendapat pekerjaan pada kadar gaji sekurang-kurangnya RM2,000. Ia sebagai penanda aras kementerian, meskipun hakikatnya graduan TVET mendapat pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih baik.

Oleh yang demikian, pelbagai program dilaksanakan secara sinergi antara tujuh agensi di bawah KKDW, pelbagai jabatan dan kerjasama dengan pihak swasta. Zahid berharap generasi ini dalam memberikan nilai tambah kepada industri TVET yang pesat membangun. – Awani

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top