Umum

Lebih 20 pemimpin Bersatu dipanggil polis selepas beri sokongan kepada Muhyiddin

Lebih 20 pemimpin Bersatu dipanggil polis berhubung himpunan menyokong presiden parti itu Muhyiddin Yassin di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

MalaysiaNow difahamkan beberapa pemimpin utama parti sudah pun dipanggil untuk mengambil keterangan oleh pihak berkuasa kuasa di Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya bermula hari ini.

Mereka termasuk Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Radzi Jidin, Setiausaha Agung Hamzah Zainuddin dan bekas ketua penerangan Wan Saiful Wan Jan.

“Datuk Li (Razali) antara pemimpin yang sudah selesai diambil keterangan hari ini,” kata sumber kepada MalaysiaNow, merujuk kepada Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris.

Pada 13 Mac, seorang pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuat laporan polis terhadap Muhyiddin, berhubung kenyataan mengenai perancangan pendakwaan terhadapnya serta campur tangan pihak atasan menggunakan agensi penguat kuasa bagi mencapai tujuan politik.

Menurut Muhammad Kamil Abdul Munim yang merupakan setiausaha politik kepada menteri kewangan itu, kenyataan Muhyiddin bersifat fitnah dan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan Anwar.

Kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengkritik laporan polis yang dibuat terhadap Muhyiddin berhubung kenyataan berunsur fitnah terhadap perdana menteri, menyifatkannya menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan untuk pemimpin kerajaan menggunakan pihak berkuasa bagi mempertahankan reputasi mereka.

Pengarah LFL Zaid Malek berkata pemimpin kerajaan yang merasakan mereka difitnah boleh memfailkan saman kepada mahkamah sivil untuk membersihkan nama mereka.

“Dalam demokrasi kita, perdana menteri tidak mempunyai status istimewa di bawah undang-undang berbeza dengan rakyat biasa,” tambahnya.

Terdahulu, Muhyiddin mengecam pertuduhan terpilih yang dikenakan terhadapnya menyifatkan ia sebagai satu penganiayaan oleh musuh politik yang rakus, menamakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai dalang utama pendakwaannya. 

Muhyiddin didakwa atas enam pertuduhan berkaitan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dengan pertuduhan ketujuh dibacakan di Mahkamah Shah Alam, semalam.

Kes akan dibicarakan pada 26 Mei depan.

Sumber: MalaysiaNow

PALING POPULAR

To Top