Umum

Mahathir desak Anwar turut isytihar kekayaan

Dr Mahathir Mohamad menuntut Anwar Ibrahim mengisytiharkan sumber kekayaan yang diperoleh perdana menteri itu ketika menjadi timbalannya dari tahun 1993 hingga 1998.

Bekas perdana menteri itu mengulas mengenai desakan Anwar yang menyuruh pemimpin lama supaya mengisytiharkan kekayaan mereka dan membantu rakyat miskin.

“Anwar adalah satu dari pemimpin lama yang dituduh bantu kroni.

“Dedahlah kekayaan di masa jadi timbalan perdana menteri seperti yang dituntut sekarang. 

“Dan bantulah rakyat dengan duit sendiri, bukan duit kerajaan,” kata Mahathir dalam satu kenyataan di Facebook.

Sabtu lalu, Anwar sekali lagi menuduh pesaing politiknya mengaut kekayaan berbilion ringgit ketika berkuasa tetapi tidak pernah berkongsi dengan rakyat miskin meskipun memperjuangkan hak orang Melayu.

Anwar menamakan Mahathir dan sekutunya Daim Zainuddin sebagai antara mereka yang mendapat manfaat daripada pemerintahan enam dekad Barisan Nasional (BN).

“Saya nak beritahu mereka, Tun, Tan Sri, yang kaya raya, kalau betul-betul nak tolong orang Melayu bila ambil berbilion ringgit (ketika berkuasa), berikan separuh daripada mereka kepada orang Melayu,” katanya dipetik MalayMail. 

“Tun Daim atau Tun Mahathir, saya tidak kisah. Tidak kira berapa banyak harta yang anda miliki, RM10 bilion atau RM15 bilion, jika anda ingin mengatakan hidup orang Melayu dan memperjuangkan hak mereka, apa sahaja yang anda simpan, pulangkan semula kepada orang Melayu,” tambah Anwar.

Mahathir, yang memfailkan saman fitnah berjumlah RM150 juta terhadap Anwar pada 3 Mei kerana atas dakwaan mengumpul kekayaan untuk dirinya dan anak-anaknya, berkata perdana menteri kononnya mempunyai maklumat mengenai “berbilion-bilion yang dicuri” olehnya dan keluarganya.

“Tak payahlah menyuruh saya buat deklarasi kekayaan saya kerana kononnya Anwar tahu,” katanya. 

“Dia punyai banyak kotak dokumen yang kononnya penuh maklumat berkenaan kekayaan saya. Di mahkamah tunjuk bukti yang ada pada Anwar akan kekayaan saya. 

“Dengan itu pengisytiharan tentang kekayaan saya akan diketahui dunia. Tak perlu saya isytihar lagi.

“Tetapi Anwar juga perlu isytihar.”

Sumber: MalaysiaNow

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top