Umum

PM hipokrit, umum projek, peruntukan negeri berdepan PRN, kata peguam

Perdana Menteri Anwar Ibrahim diingatkan supaya tidak menjalankan tadbir urus secara “double standard” susulan tindakannya mengumumkan peruntukan tambahan dan projek mega di beberapa negeri yang dilawati sejak menerajui kerajaan pusat meskipun sudah berikrar untuk tidak meneruskan amalan tersebut, kata peguam.

Peguam Rafique Rashid berkata, tindakan terbaru Anwar yang berkongsi kepada rakyat Negeri Sembilan tentang keputusan kerajaan meluluskan peruntukan tambahan berjumlah lebih RM1 bilion di negeri itu hanya membuktikan beliau bersikap “hipokrit” dan tidak menepati janji-janjinya sebelum menjawat jawatan tersebut.

Ini termasuklah juga katanya, pengumuman Anwar kepada Pulau Pinang berhubung pelaksanaan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri berkenaan dan peruntukan khusus sebanyak RM1.6 bilion kepada negeri Kedah seperti yang diumumkan pada 3 Mei lalu.

“Mengapa saya katakan begitu? Kerana sebelum (Anwar) menjadi perdana menteri beliau menyatakan dengan jelas bahawa beliau akan memastikan tata kelola cara pengurusan dan pentadbiran akan mengikut undang-undang.

“Kedua, tidak akan menyalahgunakan peruntukan kerajaan untuk kejayaan politik,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pada masa yang sama, Rafique menegaskan setiap pengumuman yang dibuat oleh Anwar itu tidak boleh dielakkan dengan situasi politik semasa yang bakal menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri.

Kini, Anwar dengan jenama pentadbirannya “Kerajaan Madani” sedang aktif menjelajah ke setiap negeri yang bakal berdepan PRN dengan menganjurkan rumah terbuka mega dengan sasaran lebih 10,000 hadirin di setiap majlis yang dianjurkan.

Seterusnya, Anwar akan melawat Kelantan (12 Mei), Terengganu (13 Mei) dan Selangor (14 Mei).

Untuk rekod, bagi semua pengumuman peruntukan dan projek mega yang diumumkan oleh Anwar disebutkan ketika beliau melawati negeri-negeri sempena penganjuran rumah terbuka kerajaannya.

Pada 7 Mei, Anwar ke Negeri Sembilan memberitahu keseluruhan jumlah peruntukan pembangunan disediakan kerajaan pusat khusus kepada negeri itu bagi 2023 adalah berjumlah RM1.27 bilion.

Bagi rakyat di Pulau Pinang, Anwar berkata kerajaannya akan menambah dana dalam satu skim yang besar untuk melaksanakan perkhidmatan LRT di negeri tersebut dan bakal mengadakan satu mesyuarat bersama kerajaan negeri untuk membincangkan perkara tersebut dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

Manakala di Kedah, Anwar menegaskan pihaknya akan menyalurkan dana sebanyak RM1.6 bilion untuk membangunkan negeri itu khususnya tambah baik bekalan air di beberapa daerah.

Pada Januari lalu, Anwar berikrar tidak akan meneruskan amalan kerajaan terdahulu yang disifatkannya selalu mengumumkan projek-projek pembangunan ketika melakukan lawatan di negeri-negeri terutama ketika menjelang pilihan raya.

Mengulas lanjut, Rafique turut mempersoalkan tindakan tersebut dengan mengatakan sekiranya Anwar belum menjawat jawatan perdana menteri sudah pasti beliau akan menjadi individu pertama yang menyelar para pemimpin politik lawan yang membuat pengumuman yang sama sedemikian.

“Tapi bila beliau berada dalam kuasa, beliau pula yang lakukan perkara itu. Sebab itu saya katakan beliau seorang yang hipokrit.

“Berlainan sungguh, untuk beliau boleh tapi untuk orang lain tidak boleh.”

Pengumuman itu salah atau tidak di sisi undang-undang?

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah bidang kuasa seorang perdana menteri bebas membuat pengumuman tentang peruntukan belanjawan negeri-negeri di mana sahaja beliau berada ataupun terdapat undang-undang khusus yang melarang beliau bercakap sedemikian, Rafique menegaskan tiada halangan dari sudut perundangan.

Bagaimanapun, katanya, apabila melibatkan hal mengumumkan peruntukan kewangan kepada negeri-negeri ianya tidak melibatkan wang dari perdana menteri sendiri sebaliknya duit rakyat yang dikutip daripada pembayar cukai.

“Walaupun secara spesifik tiada apa-apa yang menghalang Anwar atau mana-mana perdana menteri untuk mengumumkan itu, tapi semak dan imbangnya di mana?

“Adakah dengan sewenang-wenangnya pusing (u-turn) dan kata nak bagi tambahan lagi RM1 bilion, tambah lagi LRT dan sebagainya?

“Adakah ini menunjukkan negara kita tiada hukum? Sebab undang-undang sudah menyatakan kalau mahu berbelanja untuk rakyat mesti melalui perbelanjaan di mana kantung dana negara yang perlu ada semak dan imbang.

“Betulkan Negeri Sembilan itu perlukan RM1.6 bilion atau Pulau Pinang perlukan LRT?”

Katanya, pengumuman-pengumuman tersebut kemudiannya akan berakhir di mana ianya haya bersifat retorik dan politikal semata-mata khususnya menjelang PRN yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.

Bentuk rasuah gaya baru?

Sementara itu, Rafique turut menarik perhatian dengan mempersoalkan sama ada pengumuman-pengumuman libat bilion ringgit dan projek mega itu sebagai satu bentuk rasuah gaya baru demi mendapatkan atau mengekalkan kuasa kerajaan.

Katanya, unsur-unsur sebegini pernah berlaku ketika era pemerintahan Najib Razak melalui bantuan wang tunai, BR1M.

“Dulu mereka kata ini rasuah, sekarang yang kata itu rasuah pula berada dalam kerajaan. Nampaknya buat perkara yang sama tapi dengan cara yang lainlah.

“Ini perlu diteliti balik, saya tak katakan ini rasuah sebab undang-undang tak menyatakannya salah tetapi dari segi moral adakah ini satu bentuk rasuah minda kepada rakyat?”

Hal ini, katanya kerana, para pengundi didengarkan tentang pengumuman tersebut dan boleh jadi terpesona dengan janji yang dibuat sekali gus berpotensi membuang undi kerana tertarik dengan janji yang dibuat.

Sumber: MalaysiaNow

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top