Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara berdiam diri daripada mengeluarkan kenyataan berhubung pendedahan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mendapat “layanan istimewa” ketika melawat Najib Razak di Penjara Kajang, Selangor.
Ini susulan kenyataan pemimpin Umno itu meluangkan masa hampir dua jam bersama Najib yang juga bekas perdana menteri dengan ditemani ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Penjara Kajang, baru-baru ini.
Zahid turut mendakwa membawa makanan kegemaran Najib dan menikmatinya bersama.
“Kami sempat makan tengah hari bersama. Selepas setengah jam kami berjumpa, saya berjumpa empat mata pula dengan Najib selama 1 jam 30 minit,” katanya dipetik dalam ucapan gulung ketika Perhimpunan Agung Umno 2023 pada Sabtu.
MalaysiaNow sudah menghubungi Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan setiausaha akhbarnya untuk mendapatkan penjelasan lanjut namun gagal.
Manakala pegawai perhubungan awam Jabatan Penjara hanya meninggalkan pesanan dan pertanyaan MalaysiaNow tanpa sebarang maklum balas.
Semalam, peguam Rafique Rashid menggesa kedua-dua pihak itu tampil menjelaskan persoalan-persoalan yang timbul selepas lawatan Zahid ke penjara.
Ini kerana, katanya, Zahid dan sekutunya jelas sudah melanggar peraturan dan undang-undang yang mesti dipatuhi dalam proses melawat banduan di setiap penjara dalam negara.
Antaranya tempoh masa 45 minit maksimum ditetapkan untuk setiap pelawat selain kawalan ketat oleh pegawai dan warden penjara.
Selain itu, sekatan masuk makanan dan minuman dari luar selain tiada sebarang peranti atau barangan dibenarkan bawa masuk ketika melawat.
Para pelawat juga tidak boleh berkomunikasi secara bersemuka dengan banduan sebaliknya bercakap menggunakan telefon dan dihalang oleh cermin kaca bagi mengelakkan sentuhan.
Tambahnya, segala prosedur dan proses lawatan yang dilalui oleh beliau sebagai peguam masih kekal dan tak pernah berubah.
Ini bermakna, katanya, pengalaman yang sama juga dilalui oleh ahli keluarga dan orang awam ketika melawat banduan di penjara.
“Mengapa lain pula ceritanya bila Zahid melawat Najib?”
Sumber: Malaysianow