Umum

Bila ekonomi pulih, saya pun dapat ambil gaji balik – Anwar

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kekal dengan pendiriannya untuk tidak menerima gaji bagi jawatan itu sehingga ekonomi negara dapat dipulihkan semula.

Bagi membolehkan dia menikmati gaji sebagai perdana menteri, Anwar berkata dia harus segera memulihkan ekonomi negara ketika ini.

“Bila ekonomi kita pulih cepat, saya pun dapat ambil gaji saya balik, sebab enam bulan tak ambil gaji lagi, cumanya selagi ekonomi belum pulih saya tak akan ambil gaji saya,” kata Anwar ketika berucap pada Majlis Amanat Khas Perdana Menteri kepada penjawat awam negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam, hari ini.

Dalam ucapannya, Anwar membandingkan prestasi ekonomi Malaysia dan Indonesia serta pendekatan yang digunakan kedua-dua negara dalam menguruskan perbelanjaan, termasuk membatalkan subsidi elektrik.

“Kita kena tingkatkan prestasi kita dengan cepat. Ekonomi Indonesia dulu lembab jika nak dibandingkan dengan ekonomi Malaysia.

“Tapi sekarang Indonesia lebih tegas dengan batalkan subsidi elektrik. Beza dengan saya yang hanya batalkan subsidi kepada golongan orang kaya tapi tidak Indonesia. Ia (Indonesia) batalkan untuk semua.

“Dan ia kurangkan belanja dengan mendadak dan disebabkan itu pelaburan datang ke negara mereka.

Tapi, saya tak nak pilih cara begitu, tak nak nak bebankan rakyat,” kata Anwar.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga menteri kewangan berkata dia juga berusaha untuk tidak menambah lagi hutang negara sedia ada yang kini telah mencecah RM1.5 trilion.

“Saya boleh saja sepertimana dijawab mantan perdana menteri dan juga menteri kewangan dulu kalau tak cukup duit hutang sahaja, pinjam sahaja, negara kita masih boleh pinjam, ada sukuk ada bon.

“Tapi itu tindakan tidak bertanggungjawab. Yang nak bayar nanti siapa? Anak-anak kita?”soalnya.

Anwar berkata dia mahu menyelamatkan negara ini dengan menggunakan kuasa untuk menjaga tatakelola, manakala keuntungan diperoleh negara dipulangkan semula kepada rakyat.

Tambahnya, kenaikan gaji dan elaun penjawat awam juga boleh dilakukan jika mereka menunjukkan prestasi yang baik.

“Penjawat awam menjadi tunggak kepada kejayaan negara.

“Sebaik sahaja ekonomi pulih sedikit, sekarang pertumbuhan lebih baik daripada China, Indonesia, Singapura, kalau dapat diteruskan saya akan naikkan gaji dan elaun penjawat awam,” tegasnya.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top