Umum

Penduduk Taman Sungai Sireh resah 89 rumah bakal dirobohkan, dakwa dipinggirkan MB Selangor

Ramli Mohd Jadi sudah menetap di Taman Sungai Sireh, Klang, Selangor sejak tahun 70-an, ketika taman itu masih lagi perumahan setinggan. 

Pada penghujung usianya, lelaki itu mahu menghabiskan umurnya di taman tersebut.

Namun, niatnya itu mungkin tidak kesampaian. 

Pada bulan Ogos tahun lalu, kehadiran beberapa orang misteri menggemparkan penduduk kampung. 

Mereka yang tidak boleh berbahasa Melayu atau Inggeris dilihat sedang melakukan tinjauan dan membuat penandaan rumah-rumah di taman itu.

Selepas semakan, didapati orang-orang itu ialah kontraktor dari China yang terbabit dengan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). 

Menurut seorang lagi penduduk, Azman Mohd Mahusin, mereka hanya dimaklumkan mengenai jajaran yang melalui kawasan perumahan mereka beberapa bulan lepas, meskipun projek itu sudah bermula seawal 2017.

“Penduduk tidak dimaklumkan secara rasmi. 

“Ada perjumpaan yang kami usahakan sendiri dengan beberapa pihak berkaitan tetapi kerajaan mendakwa merekalah yang melakukan libat urus, padahal itu semua kami yang usahakan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Taman Sungai Sireh yang mempunyai kira-kira 300 buah rumah, menjadi tumpuan orang ramai apabila isu itu tular di media arus perdana dan media sosial. 

Menurut Azman, mereka hanya mendapat maklumat di internet dan difahamkan taman itu difahamkan terletak di jajaran Seksyen C, membabitkan laluan dari Mentakab ke Pelabuhan Klang.

Ia termasuk sebidang tanah yang menempatkan puluhan kubur di taman itu. 

Projek sepanjang lebih 600 kilometer itu menghubungkan Pelabuhan Klang dengan negeri-negeri di Pantai Timur. 

Ia dibuat pada era bekas perdana menteri, Najib Razak dengan kerjasama syarikat dari China. 

Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah difahamkan dikeluarkan pada 12 Januari 2023 lalu yang mana sekurang-kurangnya 89 rumah di Taman Sungai Sireh bakal berdepan dengan risiko pengambilan rumah kediaman mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Taman Sungai Sireh, Shapawi Hashim berkata penduduk resah kerana penjelasan yang diberikan pihak kerajaan negeri tidak tuntas.

Pembahagian kerja antara kerajaan negeri dan persekutuan juga tidak berjalan seiring.

“Menteri Besar Amirudin Shari kata tiada tindakan.

Tetapi Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) sudah masuk.

“Setelah penilaian JPPH, akan ada tempoh masa selepas laporan itu. Tempoh untuk kami tinggal dalam taman ini sekitar tiga ke enam bulan sebelum notis pengosongan akan dikeluarkan.

“Perkara ini di bawah kerajaan persekutuan tetapi tindakan dari kerajaan negeri tidak seiring,” katanya merujuk kepada kuasa kerajaan negeri dalam pengambilan tanah bagi projek berkenaan.

Amirudin ketika mengulas isu perumahan itu berkata, perkara berkenaan masih dalam penilaian dan tiada notis dikeluarkan.

“Projek di kawasan itu dijadualkan bermula 2025.

Apabila tanya penduduk, memang mereka tidak tahu sebab kita belum beri notis, bermakna perobohan tidak akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Ketika ini, yang sedang dibuat adalah penilaian untuk dicadangkan (kepada pemaju). 

“Selepas itu, kerajaan negeri perlu mendapatkan realiti jajaran sebenar projek tersebut,” menurut Amirudin.

Menurut Shapawi, penduduk agak terkilan dengan Amirudin kerana enggan bertemu dengan mereka meskipun sudah beberapa kali membuat surat.

Amirudin juga hadir program kerajaan negeri berhampiran baru-baru ini, yang mana ia dimanfaatkan penduduk untuk bertemu dan menyuarakan kegusaran mereka, walaupun tidak dijemput. 

Shapawi berkata, jika benar apa yang dimaklumkan Amirudin, kerajaan negeri perlu memberi jaminan kepada penduduk sebelum apa-apa kerja dilakukan.

Sementara itu, seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Cik Umi meluahkan rasa tidak puas hati kepada kepimpinan kerajaan negeri mengendalikan isu itu.

“Kita nak dapat rumah bukan senang. Macam mana boleh suka-suka hati sahaja beritahu rumah kami kena (roboh).

“Kita bukan orang kaya hendak ambil peguam,” katanya.

Warga emas itu mempersoalkan pampasan yang akan diberikan kerajaan Selangor sekiranya rumah mereka sah akan dirobohkan.

Sumber: MalaysiaNow

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top