Umum

Penyokong Najib hilang percaya kepada Ahmad Zahid – Syed Muhammad Imran

Pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung tidak lama lagi akan menjadi referendum dan pungutan suara tidak percaya kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, proses pemilihan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO perlu dilakukan secepat mungkin selepas usul tambahan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dilihat sebagai ‘kebenaran khas’ untuk Ahmad Zahid mengekalkan jawatan.

“Sebagai ahli UMNO kami telah hilang kepercayaan terhadap Presiden kerana beliau menjadikan UMNO seolah-olah milik individu dan sesiapa sahaja yang menyuarakan pendapat bertentangan akan dipecat atau digantung,” dakwanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, semua ahli dan penyokong Najib atau dikenali sebagai Bossku menzahirkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRN ini.

“Mari kita jadikan PRN ini sebagai referendum dan pungutan suara tidak percaya kepada Ahmad Zahid,” katanya.

Beliau berharap kepimpinan PN akan menyambut tangan mereka untuk bersama.

“Kami sudah tidak selesa lagi apabila Ahmad Zahid berterusan mempergunakan kami untuk menyokong beliau dengan menunggang nama Najib,” katanya.

Syed Muhammad Imran turut berharap agar PN dapat membawa semula kesatuan ummah dan menolak penguasaan DAP yang merupakan musuh tradisi UMNO.

Pada 13 Julai lalu, beliau turut memberi amaran kepada pimpinan UMNO bahawa penyokong Najib akan mengalihkan sokongan kepada PN pada PRN selepas kecewa dengan layanan Kerajaan Madani terhadap keadilan untuk Najib yang dikatakan tidak ditegakkan.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Langkawi yang juga anak Najib, Datuk Mohd Nazifuddin memberitahu, sokongan umum dan akar umbi terhadap bapanya adalah besar dan mungkin melebihi sokongan kepada parti UMNO sendiri.

Beliau menjangkakan terdapat sebilangan penyokong Najib yang tidak keluar mengundi atau pun memberikan undi kepada pihak lawan pada PRN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos depan sebagai hari mengundi PRN yang diadakan serentak melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu.

Sementara tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top