Umum

‘Hoi hoi ya hoi’ bergema di beberapa pusat penamaan calon

Suasana panas tercetus seketika apabila lagu “Hoi hoi ya hoi” dinyanyikan di beberapa pusat penamaan calon di enam negeri yang mengadakan pilihan raya.

Lagu itu dikesan didendangkan di Gurun, Kuang, Rawang, Taman Templer dan Gombak oleh penyokong Perikatan Nasional (PN) bagi mengejek BN yang beberapa pemimpinnya berdepan kes rasuah di mahkamah.

Lagu itu dipopularkan kembali oleh Altimet dalam pilihan raya umum lalu dengan mengubah suai lirik daripada lagu asal yang dinyanyikan P Ramlee dalam filem Ali Baba dan 40 Penyamun.

Anwar Ibrahim turut menggunakannya sepanjang kempennya sebelum menjadi perdana menteri.

Di Gurun, Kedah, lagu itu mengakibatkan kedua-dua penyokong berbalas jeritan.

Pegawai dari SPR kemudiannya terpaksa memberi amaran kepada penyokong supaya tidak menimbulkan provokasi antara satu sama lain.

Sementara itu, Anwar juga disambut dengan lagu itu oleh penyokong PH ketika tinjauannya di Gombak.

Dia bagaimanapun tidak begitu melayannya.

“Mood baik,” sambil menunjukkan isyarat bagus kepada media hari ini.

Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak, penyokong PN turut membuat sorakan itu sejurus selepas kumpulan penyokong PH-BN  tiba.

Parlimen Gombak antara kawasan ‘panas’ yang menyaksikan pertembungan tiga pengerusi parti negeri yang menghantar borang pencalonan.

Mereka adalah Pengerusi BN Selangor, Megat Zulkarnain Omardin; Pengerusi PH, Selangor, Amirudin Shari dan Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Megat Zulkarnain akan bertanding di kerusi DUN Gombak Setia dan bertembung dengan penyandang, Hilman Idham dari PN.

Selain itu, Amirudin yang adalah menteri besar sementara Selangor mempertahan DUN Sungai Tua manakala PN mempertaruh Muhammad Hanif Jamaluddin.

Azmin pula bertanding di DUN Hulu Kelang dan berdepan dengan bekas Adun Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.

Sumber: Malaysiakini

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top