Umum

Abdul Rashid Yaakub dilantik Ketua Pengarah MSN berkuatkuasa 1 November.

Gambar MSN

MSN mengumumkan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Majlis Sukan Negara (MSN) Abdul Rashid Yaakub dilantik sebagai Ketua Pengarah MSN yang baharu berkuat kuasa 1 November 2023.

Pelantikan Abdul Rashid adalah bagi menggantikan Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang bersara wajib pada 28 September lepas.

Abdul Rashid, 59, berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Utara Malaysia mula berkhidmat di MSN sebagai Ketua Unit Kewangan pada 1988 hingga 2002.

Beliau kemudian dilantik sebagai Pengarah Cawangan Kewangan pada 2003 hingga 2006, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan (2007-2017), Pengarah Bahagian Korporat (2018-2019) dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) bermula 2020.

Abdul Rashid mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak berkepentingan yang melantik dirinya untuk menerajui badan induk berkenaan serta berikrar akan menggalas tanggungjawab menggunakan pengalamannya selama 35 tahun di MSN.

Saya mahu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Kementerian Belia dan Sukan serta Ahli Lembaga Pengurus MSN kerana melantik saya selaku Ketua Pengarah MSN.

“Insya-Allah kita buat perbincangan bersama dan laksanakan perubahan mana perlu manakala yang baik akan kita teruskan supaya dapat mempertingkatkan lagi prestasi sukan di negara,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsi kepada media hari ini

 

PALING POPULAR

To Top