Umum

Abdul Wahab saman Che’gubard tuntut ganti rugi RM5 juta

Gambar Sinar Harian

Bekas Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kader Jilani menghantar saman tuntutan ganti rugi RM5 juta daripada Che’gubard atau Badrul Hisham Shaharin atas dakwaan memfitnah berhubung penyebaran sebuah video.

Video didakwa disiarkan Che’gubard menerusi Facebook kononya memaparkan individu mirip Abdul Wahab sedang berbual perkara tidak senonoh dengan seorang individu yang mirip bekas Ketua Pengarah J-KOM, Dr Mohammad Agus Yusoff.

Writ saman fitnah terhadap Chegubard difailkan pada 22 Disember 2023 di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Faizal Rahman & Co.

Selain bayaran ganti rugi, Abdul Wahab yang juga Naib Ketua Angkatan Muda PKR Cabang Hulu Langat turut memohon Che’gubard membuat permohonan maaf dalam 14 hari dari tarikh penghakiman dan diterbitkan beberapa akhbar, Facebook serta Telegram defendan selama 30 hari berturut-turut.

“Relif lain bahawa hantaran Facebook pertama dan kedua adalah fitnah terhadap plaintif, selain video dimuat naik dalam Telegram defendan juga adalah fitnah.

Defendan menceroboh privasi plaintif dengan menyebarkan video itu dan perlu memadam penyataan fitnah daripada semua laman serta platform media sosial,” katanya dalam penyataan tuntutan tersebut.

Tambah Abdul Wahab, defendan perlu melupuskan semua video berkaitan plaintif yang berada dalam simpanan, manakala faedah atas jumlah ganti rugi pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman hingga penyelesaian penuh oleh defendan.

Abdul Wahab berkata, penyataan fitnah oleh Che’gubard adalah mengaibkan, menjatuhkan maruah dan imejnya sebagai seorang Muslim, penjawat awam serta ahli politik.

Selain itu, ia didakwa mengakibatkan cemuhan oleh masyarakat hingga plaintif mengalami depresi dan tekanan perasaan.

“Penyataan fitnah berkenaan adalah dusta, palsu dan tidak benar yang dibuat dengan niat jahat untuk mencemarkan imej, menjatuhkan martabat dan nama baik plaintif selain menimbulkan persepsi negatif oleh masyarakat umum ke atas plaintif dan menjejaskan kredibilitinya pada pandangan masyarakat umum serta majikan.

“Plaintif hilang punca pendapatan selepas hantaran fitnah disebarkan oleh defendan,” ujarnya.

Pada November lalu, telah tular di media sosial rakaman perbualan video berdurasi tiga minit yang mengaitkan Abdul Wahab dan Mohammad Agus yang menjadi topik hangat di media sosial.

Sehubungan itu, dalam satu sidang media khas, Mohammad Agus mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu serta disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam sidang media yang sama, Abdul Wahab turut mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Mr H.

Berikutan itu, media telah melaporkan Abdul Wahab kemudian menghantar surat tuntutan saman kepada Badrul Hisham serta Pengarah Bahagian Latihan dan Pendidikan J-KOM, Hakim Ramlee, berhubung penularan video terbabit.

 

 

Sumber Sinar Harian

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top