Umum

Ahmad Idham tak risau diuji kontroversi lagi lepas sertai Bersatu

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham tidak menolak kemungkinan dia akan menuai kontroversi lagi susulan pembabitannya dalam politik sekarang.

Pengarah dan pelakon itu baru-baru ini mengumumkan penyertaannya dalam Bersatu dengan menjadi ketua cawangan Pinggiran Ukay, di Ampang.

Kata Ahmad Idham, jangkaan itu dibuat berdasarkan kepada reaksi pelbagai pihak sama ada semasa dia mengarah filem atau berkhidmat di Finas sebelum ini.

“Sudah tentu kontroversi. Tak kisah ke mana-mana saya pergi, pasti ada. Tapi saya dah bersedia dan saya tak risau untuk berdepan dengan perkara sedemikian,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mengukuhkan kenyataannya itu, Ahmad Idham berkata, dia yakin setiap kontroversi berpunca daripada wujudnya segelintir pihak yang tidak dapat menerima kenyataan.

Misalnya, kata pengarah Hantu Wangan itu, semasa dia berkhidmat mengetuai Finas sebelum ini dan berjaya menyelamatkan perfileman negara serta membawa industri itu ke “landasan yang sebenar.”

“Sebab orang tahu saya seorang yang menjalankan amanah dan tanggungjawab. Adakah kontroversi timbul sebab mereka melihat saya gagal atau ia disebabkan mereka sendiri terancam?

“Hari ni, dalam industri ramai yang mengeluh tapi mengapa mereka tak bantai sesiapa (orang lain) lagi? Jika dilihat dari sudut filem saya hasilkan pula, ia booming (meletup),” katanya.

Mulakan kempen kesedaran

Terdahulu, pemilik nama penuh Ahmad Idham Ahmad Nadzri itu dalam kenyataan berkata, pelantikannya sebagai ketua cawangan Bersatu merupakan satu tanggungjawab yang besar untuk digalas.

Untuk rekod, selain Ahmad Idham kawasan parlimen Ampang turut menyaksikan seorang lagi bekas pegawai kanan Finas sedang aktif dalam politik iaitu Hans Isaac. Dia pernah dilantik menjadi pengerusi Finas.

Di sebalik potensi kontroversi itu, Ahmad Idham berkata, dia tetap komited dengan apa yang dilakukannya demi memastikan perjuangan mewujudkan hab pendidikan khas sebagai sistem sokongan komuniti untuk golongan kelainan upaya.

Jelasnya perjuangan yang diusahakan itu memberi impak positif kepada masyarakat Ampang yang mempunyai anak istimewa.

Mengulas lanjut, Ahmad Idham, 48, berkata untuk menyantuni anak-anak istimewa, tugas itu tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata.

“Selepas berada dalam bidang pendidikan khas, saya jangka industri akan matang. Tapi lihat kes adik Bella.

“Jadi, saya nak mulakan kempen kesedaran dengan lebih efektif,” katanya.

Selain itu, tambah Ahmad Idham, sebelum ini pihak pengendali program seumpama itu sukar mendapatkan dana kerana sistem sedia ada menyaksikan kerajaan menyalurkan bantuan terus kepada sekolah, bukannya NGO.

Kadangkala, dakwanya, ada dana tersebut tidak sampai kepada pelajar dan dia berhasrat mahu mengubah situasi tersebut.

Pada masa sama, Ahmad Idham menegaskan, dia menyertai Bersatu bukan untuk memudahkannya mendapatkan sebarang projek kerajaan kerana kedudukan ekonominya kini memang stabil.

“Itu bezanya, saya masuk (politik) selepas dah ada perniagaan sendiri, dah ada sekolah kanak-kanak istimewa sendiri malah dah ada production house (syarikat penerbitan) sendiri.

“Kalau ekonomi tak stabil, macam mana nak bantu orang lain dalam melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR)? Kita sendiri yang perlu keluarkan wang, berbanding guna duit orang.

“Jika nak cakap pasal projek, baik saya duduk saja dalam Finas, ada geran ratusan juta. Tapi saya sanggup keluar, menurunkan taraf diri sendiri bekerja sebagai Setiausaha Kebudayaan di Kementerian Luar.

“Insya-Allah, saya nak ubah pandangan orang ramai terhadap muka-muka baru yang sertai parti. Saya dah stabil baru masuk politik, bukan masuk sebab nak kayakan diri sendiri,” katanya.

Sumber: Malaysia Kini

PALING POPULAR

To Top