Pusat rekreasi Air Terjun Sungai Gabai Hulu Langat yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir ditutup kepada pengunjung berikutan tidak selamat untuk dikunjungi.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dalam kenyataannya di Facebook memaklumkan, penutupan itu dilakukan atas nasihat Jabatan Perhutanan dan Bahagian Pelancongan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).
“Pusat Rekreasi Air Terjun Gabai didapati tidak selamat dikunjungi.
“Malah LiSA (Life Saving Appliances) yang ditempatkan oleh bomba juga hanyut dibawa arus,” kata kenyataan itu pada Isnin.
Sebelum ini tular beberapa video dan gambar mengenai keadaan teruk di Air Terjun Sungai Gabai berikutan banjir melanda kawasan itu pada Disember tahun lalu.
Beberapa video dan gambar menunjukkan terdapat banyak pokok tumbang dan tanah runtuh di kawasan terbabit.
Menerusi perkongsian video pada aplikasi TikTok seorang lelaki menunjukkan keadaan persekitaran air terjun itu selepas dilanda banjir.
Menurutnya, keadaan air terjun itu yang dahulunya sangat cantik dan hijau kini berubah dalam sekelip mata.
“Air…..semestinya (berubah warna seperti) teh susu. Tempat ini sudah jauh berubah,” ujarnya.
*Berita asal di Sinar Harian