Umum

Aktiviti luar bilik darjah dihentikan jika IPU lebihi 100

Semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sekiranya cuaca terlalu panas.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, bagi kawasan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid hendaklah dihentikan.

KPM turut mengingatkan jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan bawah KPM agar melaksanakan langkah-langkah pencegahan bagi menghadapi keadaan cuaca panas atau pun sebarang keadaan cuaca di luar jangkaan.

Menurut kementerian itu, JPN, PPD dan semua institusi di bawah KPM turut diingatkan agar memantau aktiviti yang mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.

“Bekalan air minuman perlu dipastikan mencukupi selain murid digalakkan membawa air minuman sendiri,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

Pihak terlibat juga perlu menasihati dan menggalakkan murid untuk mengambil air minuman dalam kuantiti sesuai bagi mengawal suhu badan.

Katanya, jika keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman, pihak terbabit perlu membekalkan air minuman kepada murid yang tinggal di asrama.

“Sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas

murid akibat cuaca panas,” kata kementerian itu.

Menurut KPM, semua institusi pendidikan bawah KPM dinasihati agar sentiasa mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan selain peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena berjerebu di kawasan atau daerah masing-masing.

“Patuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid serta pelajar dan warga institusi pendidikan.

“KPM sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan cuaca,” tambah KPM lagi.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top